'Kepada adikku yang dikasihi ... inilah malam yang paling sukar untuk saya' - TMJ
Kohilah Sekaran
Disember 6, 2015 11:30 MYT
Disember 6, 2015 11:30 MYT
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi penghormatan terakhir untuk Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang mangkat pada Sabtu dengan menyifatkan adinda kesayangannya sebagai sumber kekuatan dan inspirasi buat dirinya.
Menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, coretan terakhir buat adindanya itu begitu mengusik kalbu sesiapa yang membacanya.
“Kepada adikku yang dikasihi... Dalam banyak malam yang berlalu, inilah malam yang paling sukar untuk saya. Kita semua amat sayang dan rindukan kamu,” kata TMJ.
Menurut Putera Mahkota Johor itu, Almarhum Tunku Abdul Jalil merupakan seorang yang penyayang dan mempunyai sifat suka merendah diri.
"Kamu yang sentiasa membuatkan kita tersenyum. Kamu juga kekuatan dan inspirasiku. Kamu punyai satu sifat yang kita tiada; jiwa yang penyayang dan rendah diri.
“Saya sayangkan kamu sepenuh hati dan sangat rindukan kamu. Kamu takkan dilupakan.”
Selain itu, TMJ juga berkata nama Almarhum Tunku Abdul Jalil akan diwariskan kepada warisnya.
“Namamu akan dibawa oleh warisku. Senyumanmu adalah kekuatanku. Semoga Allah merahmatimu, adikku. Saya sentiasa sayangkan kamu,” tambah TMJ dalam statusnya.
Anakanda keempat Sultan Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim Ismail mangkat pada jam 7.11 malam Sabtu di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Tunku Abdul Jalil mangkat pada usia 25 tahun selepas menderita akibat kanser hati selama beberapa tahun.