Kenyataan SPRM siasat kes salah guna kuasa KSN, KPPA adalah palsu - JPM

Hakim Rahman
April 6, 2023 22:35 MYT
Pejabat Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang ditularkan menerusi media sosial. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kenyataan media yang didakwa dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri berhubung siasatan kes salah guna kuasa terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) adalah palsu.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi penafian yang dimuat naik di laman Facebook rasmi memaklumkan, Pejabat Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang ditularkan menerusi media sosial.
“Tindakan mengeluarkan kenyataan tersebut ternyata berniat jahat dan mengelirukan rakyat.
“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini tular kenyataan palsu yang bertarikh 6 April itu memaparkan dakwaan kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan dengan kadar segera terhadap kes salah guna kuasa melibatkan perkhidmatan KSN dan KPPA.
#Facebook #SPRM #media sosial #KPPA
;