Kenyataan sokong Tun M tidak bekerjasama dengan UMNO tidak gambarkan keseluruhan pendirian Armada - Exco

Astro Awani
Mei 7, 2020 13:28 MYT
Menurut Muzzammil, Armada di peringkat bahagian berpendapat, kenyataan itu tidak mengambarkan keseluruhan pendirian pimpinan sayap parti berkenaan. - Gambar fail
Kenyataan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada Rabu yang menyokong pendirian Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bekerjasama dengan UMNO tidak menggambarkan keseluruhan pendirian pimpinan Armada, tegas Exco Armada Nasional, Muzzammil Ismail.
Menurut Muzzammil, Armada di peringkat bahagian berpendapat, kenyataan itu tidak mengambarkan keseluruhan pendirian pimpinan sayap parti berkenaan.
Malah, katanya, tindakan itu secara tidak langsung hanya mengeruhkan krisis politik Bersatu yang berterusan.
“Apakah ini polemik politik Syed Saddiq dalam usaha beliau untuk menunjukan kekuatan sokongan di hadapan Tun Mahathir dalam usaha untuk mengekalkan beliau sebagai Ketua Armada Nasional pada pemilihan yang sedang berlangsung.
“Rata-rata Ketua Armada Bahagian Bersatu tidak menyokong sepenuhnya pendirian rasmi Armada Pusat pada 6 Mei 2020 yang memutuskan untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Sebagai ahli parti saya berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 23 Februari 2020 yang memutuskan Bersatu keluar daripada Gabungan Pakatan Harapan (PH). Keputusan ini kekal sehingga terdapat keputusan MPT terbaru,” ujarnya.
Pada masa sama, Muzzammil yang juga menawarkan diri sebagai calon Ketua Armada Nasional turut mengingatkan pimpinan tertinggi Armada Bersatu untuk menghormati struktur beroganisasi dalam parti dan tidak hanya menjadi ‘jaguh politik’.
Ini kerana menurut Muzzammil, tumpuan kini adalah mengukuhkan kerajaan bagi memastikan ahli parti dan rakyat terus mendapat manfaat dari kerajaan Perikatan Nasional.
Terdahulu, Armada dalam satu kenyataan pada Rabu menjelaskan keputusan menyokong Dr Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan UMNO dibuat dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri Dr Mahathir serta exco dan ketua-ketua Armada negeri.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan diadakan bagi membincangkan isu masa depan dan kelangsungan parti.
BACA: Armada tolak kerjasama dengan UMNO, mahu kembali kepada PH
#ARMADA #Bersatu #Exco Armada Nasional #Muzzammil Ismail #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Tun Dr Mahathir Mohamad
;