Kenyataan semborono menteri: Salahuddin terima teguran secara terbuka
Rahimah Abdullah
Ogos 2, 2018 16:06 MYT
Ogos 2, 2018 16:06 MYT
Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan barisan anggota Kabinet perlu menerima dengan baik setiap teguran dibuat mana-mana pihak.
Beliau menyifatkan teguran yang dibuat bukan suatu yang mengaibkan, sebaliknya menerimanya secara terbuka bagi memperbaiki setiap kelemahan.
"Saya rasa mana-mana pihak yang beri teguran kepada kami, kita harus menerima dengan baik kerana bagi saya semua orang berada pada tahap permulaan.
"Jadi sekiranya melakukan kesalahan atau kesilapan, saya rasa teguran itu bukanlah suatu yang mengaibkan, tetapi satu fasa yang kita menerima dengan terbuka,” katanya dalam sidang media selepas Program Ramah Mesra Bersama Rakan Media di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini hari ini.
Jelasnya lagi, sebagai seorang ahli politik yang begitu berpengalaman dan berpengaruh, beliau tiada masalah untuk menerima sebarang teguran daripada mana-mana pihak.
“Yang penting kita terus maju, terbuka menerima kritikan dan teguran kerana itulah yang akan memperbaiki kita pada masa akan datang,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pimpinan kerajaan Pakatan Harapan kadang-kala tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan sehingga menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.