Kenyataan Muhyiddin gambarkan Guan Eng salah guna kuasa dalam kes cukai Yayasan Albukhary - Peguam

Bernama
September 12, 2024 18:04 MYT
Peguam Guok Ngek Seong berkata tiga kenyataan Muhyiddin, membawa maksud bahawa anak guamnya adalah anti-Melayu dan anti-Islam dengan menyasarkan Yayasan Albukhary. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berunsur fitnah dan mencemarkan reputasi Lim Guan Eng apabila menggambarkan bekas Menteri Kewangan itu sebagai telah menyalahgunakan kuasa dalam isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Peguam Guok Ngek Seong berkata tiga kenyataan Muhyiddin, jika dibaca secara keseluruhan, membawa maksud bahawa anak guamnya adalah anti-Melayu dan anti-Islam dengan menyasarkan Yayasan Albukhary.
"Kenyataan itu, jika dibaca secara keseluruhan oleh mana-mana orang yang munasabah, akan menyebabkan kesimpulan bahawa plaintif seorang yang pendendam, bertindak dengan niat jahat dan dengan sengaja mensabotaj serta merosakkan Yayasan Albukhary," katanya pada prosiding saman fitnah Lim terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain.
Beliau juga berhujah kenyataan Muhyiddin bahawa Lim adalah individu yang bertanggungjawab membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary merupakan satu pembohongan atau kenyataan tidak benar yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu.
"Saksi defendan yang kedua iaitu Hazlan Abdul Aziz dengan jelas memberitahu mahkamah bahawa tiada surat yang ditandatangani oleh plaintif semasa beliau menjadi menteri sama ada membatalkan atau tidak mengiktiraf pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary," katanya.
Peguam Chetan Jethwani, yang mewakili Muhyiddin, pula berhujah bahawa Lim boleh mengeluarkan tuntutan secara peribadi untuk meminta beliau menarik balik atau meminda kenyataannya.
"Sebaliknya, plaintif memilih untuk memburukkan lagi perkara itu serta membawanya kepada perhatian umum dan menjadikan ia sebagai isu awam dan (melibatkan) kepentingan awam," katanya.
Roz Mawar kemudian menetapkan 8 Nov ini untuk keputusan.
Seramai tiga saksi plaintif dan dua saksi defendan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang berakhir pada 17 Julai lepas.
Pada 27 Mac tahun lepas, Lim memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah di Facebook yang melibatkan beliau berhubung isu itu pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.
Laporan berhubung isu itu kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud beliau telah menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri agar mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary.
-- BERNAMA
#Muhyiddin Yassin #Lim Guan Eng #saman fitnah #cukai Yayasan Albukhary
;