'Kenyataan Muhyiddin cenderung galak permusuhan' - Anwar

Sinar Harian
April 20, 2023 15:31 MYT
Kata Muhyiddin (kiri), ucapan itu merupakan sebahagian daripada kempen politik untuk menyokong seorang calon PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ketika itu.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa, kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kecenderungan untuk menggalakkan perasaan niat jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara orang awam dan calon pilihan raya ketika mengundi.
Menerusi jawapan kepada pembelaan, yang difailkan menerusi Tetuan SN Nair pada 16 Februari lalu, Anwar selaku plaintif berkata, Muhyiddin sebagai defendan tidak berhak untuk bergantung kepada pembelaan bersyarat kerana perkataan memfitnah tersebut telah diungkapkan secara sengaja dan sewenang-wenangnya, tanpa mengambil kira kebenaran perkara tersebut, sehingga memudaratkan nama baik plantif dengan serius.
"Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ini juga tidak mempunyai kewajipan untuk membuat kenyataan palsu kepada para pengundi atau mayarakat umum.
"Sehingga kini, defendan tidak menamakan pegawai pihak ketiga daripada kerajaan Selangor yang didakwa telah mendedahkan maklumat mengenai RM15 juta, kononnya gaji saya selaku Penasihat Ekonomi Negeri Selangor," katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun ini berkata, defendan perlu mendedahkan kepada mahkamah mengenai identiti Pegawai Negeri Selangor yang didakwa dalam penyataan pembelaan tersebut.
Tanpa maklumat berkenaan, Anwar menegaskan bahawa pegawai yang didakwa oleh Ahli Parlimen Pagoh itu, rekaan semata-mata.
"Setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli (ketika itu), sudah menafikan perkataan fitnah diungkapkan defendan.
"Malah, fakta ini tidak dicabar dalam apa cara sekalipun dengan butiran oleh defendan dalam pernyataan pembelaan yang hanya menunjukkan penyataaan itu adalah palsu," katanya.
Anwar memfailkan saman terhadap Muhyiddin pada 20 Disember lalu, yang mendakwa Perdana Menteri menerima bayaran RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dalam satu ceramah ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kenyataan berbaur fitnah itu katanya, didakwa dikeluarkan di 'Grand Finale PN Padang Serai' di Taman Selasih, Kulim sewaktu kempen PRU15 pada 5 Disember 2022.
Sementara itu, Muhyiddin menegaskan Anwar selaku ketua Kerajaan Perpaduan, pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri tidak harus tersinggung terhadap kritikan dan pertanyaan yang dibangkitkan dalam ceramah politik.
Menurut Muhyiddin, beliau dan Anwar adalah tokoh awam dan pemimpin parti masing-masing yang sentiasa berhadapan dengan dakwaan yang mungkin disalah nyata, disalah sebut atau diambil di luar konteks oleh media.
Katanya, ucapan ketika ceramah 'Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai' tidak memfitnah Anwar sebaliknya ia adalah suatu komen yang adil.
Kata Muhyiddin, ucapan itu merupakan sebahagian daripada kempen politik untuk menyokong seorang calon PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ketika itu. -- Sinar Harian
#Anwar Ibrahim #Muhyiddin Yassin #saman fitnah #PRU15
;