Kenyataan menteri mengenai GISB dibentangkan di Parlimen - Saifuddin

Bernama
Oktober 11, 2024 16:45 MYT
Saifuddin Nasution, berkata berdasarkan perancangan, kenyataan tersebut akan dibentangkan pada hari kedua persidangan bagi memberi ruang untuk perbahasan mengenai isu berkenaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Satu kenyataan rasmi menteri mengenai isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) akan dibentangkan pada persidangan Parlimen yang akan bermula pada 14 Okt ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata berdasarkan perancangan, kenyataan tersebut akan dibentangkan pada hari kedua persidangan bagi memberi ruang untuk perbahasan mengenai isu berkenaan.
"Ia adalah peluang bagi Ahli Parlimen untuk mengikuti dan kemudian berbahas, kerana menurut aturan, pembentangan bajet akan diadakan pada Jumaat, diikuti dengan perbahasan pada minggu berikutnya," katanya dalam sesi libat urus dan ramah mesra bersama ketua pengarang media di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.
Saifuddin Nasution berkata pihaknya ingin menjadikan Parlimen sebagai platform bagi rakyat untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan mengenai GISB secara sahih
"Kami berpendapat bahawa tajuk GISB sangat dominan menghiasi dada media dan menarik minat rakyat.
"Oleh itu, biarlah Parlimen menjadi platform untuk kita berkongsi langkah-langkah yang sedang diambil berkenaan isu ini," katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa siasatan polis mengenai isu GISB dijalankan berlandaskan undang-undang yang berlaku di negara ini
Semalam, seramai 16 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata setakat ini 58 individu telah ditahan di bawah akta berkenaan sejak Op Global dilaksanakan September lepas.
Mohd Shuhaily berkata sepanjang tempoh operasi itu dilaksanakan, sebanyak 415 orang ditahan dan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan oleh pihak polis.
Pada 11 Sept lepas, menerusi Operasi Global, polis telah melakukan serbuan ke atas 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB kerana didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta penyalahgunaan agama.
-- BERNAMA
#GISB #Parlimen #Saifuddin Nasution #perbahasan Parlimen
;