Kenyataan menteri cara terbaik tangani isu derma RM2.6 bilion, kata Azalina

Bernama
Disember 4, 2015 08:32 MYT
Azalina berkata sekiranya kerajaan menjawab soalan berkaitan isu itu sepanjang sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, maka akan wujud banyak keadaan tidak menentu dan tidak puas hati. - Foto fail
Kerajaan berkata ia memutuskan bahawa mengeluarkan kenyataan menteri adalah cara terbaik untuk menangani isu derma politik RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Memandangkan isu itu mempunyai kaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan, Peguam Negara menasihati kerajaan supaya tidak membincangkannya kerana ia mungkin menjadi subjudis, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata jawapan yang diberi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenainya mengambil kira siasatan berkenaan serta nasihat yang diberi Peguam negara.
Persoalan tentang perkara itu ditimbulkan secara lisan serta tulisan, dan kerajaan mengambil keputusan untuk menjawabnya melalui kenyataan menteri 'agar kami dapat memaklumkan kepada Dewan tentang status terkininya', kata beliau kepada pemberita di lobi Parlimen Khamis.
Azalina, yang bertanggungjawb bagi hal ehwal Parlimen, ditanya kenapa Najib tidak hadir di Parlimen pada Khamis untuk menjawab soalan tentang isu itu.
Azalina berkata sekiranya kerajaan menjawab soalan berkaitan isu itu sepanjang sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, maka akan wujud banyak keadaan tidak menentu dan tidak puas hati.
Katanya persoalan tentang isu itu telah banyak kali ditimbulkan semasa perbahasan di Dewan Rakyat, dan kerajaan mengumpulnya untuk mengeluarkan kenyataan menteri yang dibenarkan di bawah Perintah Tetap.
"Jika anda lihat jawapan yang dberi Timbalan Perdana Menteri, ia agak jelas (iaitu) dalam memberi penjelasan tentang statusnya ... Kerajaan sudah berulang kali menjelaskannya... Sepanjang yang melibatkan pembiayaan politik, kerajaan telah agak jelas mengenainya," kata beliau.
#Azalina Othman Said #Najib Tun Razak
;