Kenyataan media 118 Ahli Parlimen PN menghadap Agong adalah palsu

Hasimi Muhamad
Januari 6, 2024 22:20 MYT
Kenyataan media bertarikh 6 Januari tular mendakwa PN merafak syukur kerana usaha menyelamatkan negara mendapat ihsan Seri Paduka Baginda - Gambar Pejabat Ketua Pembangkang
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen gabungan itu untuk datang menghadap Seri Paduka Baginda bersama akuan bersumpah masing-masing.
Pejabat Ketua Pembangkang memaklumkan, kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti yang ditularkan di media sosial, adalah palsu.
Terdahulu, kenyataan media bertarikh 6 Januari tular mendakwa PN merafak syukur kerana usaha menyelamatkan negara mendapat ihsan Seri Paduka Baginda.
Kenyataan itu turut menyebut, PN yakin urusan pembentukan pentadbiran baharu akan dapat dimuktamadkan selepas istiadat menghadap.
Sejak kebelakangan ini, hangat diperkatakan mengenai 'Langkah Dubai' yang didakwa dirancang segelintir pihak untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan 'Langkah Dubai' tidak akan memberikan kesan kepada Kerajaan Perpaduan.
#Anwar Ibrahim #Kerajaan Perpaduan #Langkah Dubai #Hamzah Zainudin
;