Kenyataan Jeff Ooi terhadap Haron Din kurang ajar, kata veteran UMNO
Bernama
September 17, 2016 07:40 MYT
September 17, 2016 07:40 MYT
Kenyataan Anggota Parlimen DAP Jelutong Jeff Ooi terhadap Allahyarham Datuk Dr Haron Din di Twitter semalam bersifat kurang ajar dan melampaui sensitiviti umat Islam.
Menyebut demikian, Setiausaha Veteran UMNO Datuk Mustapha Yaakub berkata Jeff sebagai seorang rakyat Malaysia, sepatutnya memahami adat resam keagamaan kaum lain.
"Apa yang dilakukan Jeff Ooi ternyata beliau sudah lupa bahawa negara ini majoriti rakyatnya adalah Melayu beragama Islam. Kebiadapan Jeff ini membuktikan dirinya sudah hilang rasa hormat kepada penganut agama lain," kata Mustapha dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Menerusi akaun twitternya Jeff menulis: "Adios Harun Din, let there be peace"
Sehubungan itu, Mustapha mengutuk kebiadapan Jeff itu dan menuntut beliau meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam negara ini.
"Penghinaan ini bukan hanya kepada Haron tetapi turut dirasai oleh semua orang Islam di negara ini. Perlu diingat bahawa kami orang Melayu boleh berbeza dalam fahaman politik tetapi kami tetap bersatu dalam hal membabitkan agama.
"Walaupun Haron seorang pemimpin PAS tetapi beliau adalah seorang beragama Islam. Orang Melayu beragama Islam dalam PAS atau UMNO seperti pepatah Melayu... cubit paha kanan, paha kiri turut terasa sakitnya... apabila menyentuh mengenai agama Islam," katanya.
Sementara itu, Timbalan Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah) Abdul Ghani Samsuddin berkata Amanah kecewa terhadap tindakan Jeff itu hingga mencetuskan kemarahan semua pihak.
"Amanah menolak sekeras-kerasnya tindakan Jeff itu, perbezaan pendapat dan ideologi fahaman politik tidak sepatutnya menjadi sebab untuk tidak menghormati Haron Din," katanya.
Tindakan Jeff itu tidak membawa sebarang faedah kepada negara kerana sebagai rakyat Malaysia harus saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam mewujudkan sebuah masyarakat harmoni, katanya.