Kenyataan 'hak asasi' PBB tidak berasas, berat sebelah - Wisma Putra

Astro Awani
Mac 13, 2016 12:32 MYT
Wisma Putra menyifatkan isu ruang demokrasi terhad yang dikatakan Zeid Ra'ad dan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak berasas dan berat sebelah. -Gambar fail
Kerajaan kesal dengan komen Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra'ad Al Hussein mengenai keadaan hak asasi manusia di negara ini.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra menyifatkan isu ruang demokrasi terhad yang dikatakan Zeid Ra'ad dan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak berasas dan berat sebelah.
"Kerajaan kesal dengan komen yang disuarakan oleh Pesuruhjaya Tinggi. Mengenai kes Anwar, kerajaan telah memberi maklum balas yang menyeluruh kepada Kumpulan Kerja PBB mengenai Penahanan Sewenang-wenang (WGAD).
"Kerajaan ingin menegaskan bahawa atas asas undang-undang serta fakta yang tidak dapat disangkal, Anwar telah didapati bersalah selepas perbicaraan yang adil yang telah mengambil tempoh yang panjang. Dia bukanlah seorang tahanan politik.
"Progres menyeluruh serta usaha kerajaan dalam memastikan hak-hak asasi manusia di negara ini terjamin adalah disebabkan oleh komitmen teguh pihak kerajaan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia," jelas kenyataan itu.
Dalam laporan tahunan yang dibentangkan pada Sesi Tetap Majlis Hak Asasi Manusia Ke-31 di Geneva, Switzerland pada 10 Mac lalu, Zeid Ra'ad mendakwa ruang demokrasi di Malaysia semakin mengecil, serta menyifatkan pemenjaraan Anwar sebagai lambang 'kelesuan demokrasi'.
Wisma Putra berkata, Wakil Tetap Malaysia ke PBB menggunakan Hak Memberi Maklum Balas pada 11 Mac bagi menjawab dakwaan berhubung keadaan hak asasi manusia di negara ini.
Dalam pada itu jelas kenyataan itu, kerajaan telah dan akan terus memberikan ruang demokrasi yang diperlukan untuk rakyatnya.
"Dalam keadaan yang sama, kerajaan mempunyai kewajipan untuk memastikan keamanan, kestabilan dan keharmonian di negara ini yang merupakan pra-syarat bagi kenikmatan hak sepenuhnya.
"Negara amat menghormati kepentingan peranan Majlis Hak Asasi sebagai sebuah badan antara kerajaan yang berpandukan prinsip-prinsip sejagat, tidak berat sebelah, objektif dan tidak selektif.
"Oleh itu, kerajaan berharap agar Majlis Hak Asasi Manusia akan seimbang dalam menilai keadaan hak asasi manusia bagi kesemua negara-negara anggota," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu kata kenyataan itu, negara juga menghargai dialog yang membina serta interaksi aktif yang menjadi asas kepada usaha-usaha Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
"Kerajaan akan terus mengekalkan kerjasama rapat dengan mekanisme Majlis Hak Asasi Manusia," ujar kenyataan itu.
#Anwar Ibrahim #hak asasi manusia #PBB #wgad #Wisma Putra #Zeid Ra'ad Al Hussein
;