Kenyataan fitnah: Amirudin tuntut Sanusi mohon maaf, tarik kenyataan 48 jam

Hasimi Muhamad
Ogos 9, 2023 14:34 MYT
Amirudin berkata, surat tersebut antara lain menuntut agar Muhammad Sanusi menjamin bahawa fitnah itu tidak diulang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Amirudin Shari menuntut agar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menarik balik dan memohon maaf dalam tempoh 48 jam berhubung kenyataan berunsur fitnah.
Menurut Menteri Besar Selangor itu, surat tuntutan berkenaan telah dihantar menerusi peguamnya kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu pada pukul 7.36 Rabu malam tadi susulan kenyataan fitnah yang didakwa disampaikan di Jitra, Kedah pada 2 Ogos lalu.
Amirudin berkata surat tersebut antara lain menuntut agar Muhammad Sanusi menjamin bahawa fitnah itu tidak diulang.
"Selain itu, (Muhammad Sanusi) membayar ganti rugi RM10 juta atas tindakan memfitnah dan mengeluarkan berita palsu yang menjejaskan institusi Datuk Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor," katanya dalam kenyataan malam ini.
Pengerusi Harapan (PH) Negeri Selangor itu menambah, jika Muhammad Sanusi gagal berbuat demikian, beliau terpaksa meneruskan dengan tindakan undang-undang menerusi proses mahkamah.
Pada 4 Ogos lalu, Amirudin memaklumkan akan memulakan proses tindakan undang-undang dengan Muhammad Sanusi.
Ia susulan Muhammad Sanusi dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mendakwa Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan telah memperoleh tanah seluas 600 ekar atau 243 hektar secara percuma.
Ia termasuk tuduhan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) bakal mengalami kerugian mencecah RM180 juta jika Vincent diberikan projek sungai bernilai RM10 bilion.
#Saman Amirudin terhadap Sanusi #Projek tanah Vincent Tan #Muhammad Sanusi #kenyataan fitnah