KUALA LUMPUR: Malaysia dan China menekan bahawa penduduk Gaza mesti dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa dan menggesa gencatan senjata segera serta kekal susulan serangan rejim Israel.


Ringkasan AI
  • Malaysia dan China menekan bahawa penduduk Gaza mesti dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa dan menggesa gencatan senjata segera serta kekal susulan serangan rejim Israel.
  • Malaysia mengalu-alukan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2728 (2024) mengenai Gaza yang dikeluarkan pada 25 Mac 2024. Resolusi ini menuntut gencatan senjata serta merta, pembebasan tebusan tanpa syarat, dan penghantaran segera bantuan kemanusiaan tanpa halangan.
  • Selain itu, Malaysia-China juga berkongsi pandangan mengenai kepentingan memelihara keamanan di rantau Asia Pasifik dan mendukung usaha untuk memelihara Asia Tenggara sebagai kawasan bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar lain.


Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua negara menyuarakan kebimbangan yang mendalam terhadap perang berterusan di Gaza, situasi kemanusiaan yang semakin teruk dan merosot serta kesannya kepada penduduk awam.

Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Li Qiang menyeru bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan perlindungan bantuan kemanusiaan termasuk kepada kakitangan perubatan.

"Kedua-dua pihak menegaskan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri termasuk hak ke atas negara Palestin yang merdeka.

"Selain itu, menggesa Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mempertimbangkan semula permohonan Palestin menjadi ahli penuh, selaras dengan resolusi yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB pada 10 Mei 2024.

"... menyatakan sokongan penuh untuk meneruskan semula proses penyelesaian politik berdasarkan penyelesaian dua negara, dan menggalakkan penyelesaian menyeluruh, adil serta berkekalan mengenai soal Palestin dengan segera," menurut kenyataan bersama itu pada Khamis.

Dalam kenyataan sama, Malaysia-China juga berkongsi pandangan mengenai kepentingan untuk memelihara dan mengekalkan keamanan di rantau Asia Pasifik, disokong oleh penghormatan terhadap kedaulatan dan pematuhan kepada peraturan dan norma yang dipersetujui.

Selain itu, kedua-dua negara bersetuju menyokong usaha untuk memelihara Asia Tenggara sebagai kawasan bebas daripada senjata nuklear dan senjata pemusnah besar lain.

"Ia sekali gus menyumbang kepada usaha global mengenai pelucutan senjata, penghalangan penyebaran senjata nuklear, dan penggunaan tenaga nuklear secara aman.

"Perkara itu selaras dengan Perjanjian Mengenai Senjata Nuklear  Asia Tenggara," tambah kenyataan bersama itu lagi.

Kenyataan bersama itu susulan lawatan kerja Li selama tiga hari ke Malaysia, yang berakhir hari ini sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.