Kenyataan berbaur politik kepartian berasas kekuatan silam sudah tidak relevan - PN Johor
Astro Awani
September 8, 2021 00:32 MYT
September 8, 2021 00:32 MYT
KUALA LUMPUR: Kenyataan yang berbaur kekuatan politik kepartian berasaskan kekuatan silam sudah tidak releven dalam suasana senario politik semasa.
Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, dukungan PN Johor dibuat demi rakyat negeri itu khususnya dan negara secara amnya selain bukan kerana UMNO.
Jelasnya, PN Johor kekal mendukung kerajaan negeri biarpun beberapa kenyataan politik dibuat Badan Perhubungan Negeri UMNO Johor dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor sehingga ke hari ini amat mengecewakan.
"PN Johor akan terus memikirkan soal negara, negeri dan rakyat, supaya tidak timbul satu pergolakan, bahkan perkara yang membawa kesan buruk pada negeri dan negara.
"PN Johor berpendapat, pertembungan tiga penjuru pada Pilihanraya Umum ke-15 bakal merugikan lagi pihak BN Johor. Ini terbukti apabila BN Johor tewas 37 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.
"PN Johor kini bersiap siaga, untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen jika Parlimen dibubar pada bila-bila masa, namun sentiasa membuka pintu rundingan dengan mana-mana pihak, termasuk BN-UMNO, bagi mengelak pertembungan tiga penjuru," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu tegasnya, PN Johor menyeru parti-parti politik agar mengurangkan politiking dan seluruh Bangsa Johor terus bersatu hati.
Selain itu ujarnya, Bangsa Johor juga diminta memberi kepercayaan kepada kerajaan persekutuan dalam melaksana Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar semua dapat keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi dengan kadar segera.