Kenyataan Anwar bukti kesungguhan perangi rasuah - Ahli akademik, NGO
Bernama
Disember 12, 2022 18:14 MYT
Disember 12, 2022 18:14 MYT
KUALA LUMPUR: Kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memecat mana-mana menteri dalam Kerajaan Perpaduan yang terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa mencerminkan keseriusan beliau untuk memerangi aktiviti itu.
Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata komitmen Anwar itu juga menggambarkan kerajaan pimpinannya benar-benar ikhlas bekerja demi kepentingan rakyat.
"Ini adalah peringatan kepada Kabinet bahawa Perdana Menteri akan ambil tindakan kalau mereka didapati melakukan pelanggaran itu, maka secara moralnya mereka tidak layak menjadi anggota Kabinet.
"Menteri Kabinet ini akan didampingi oleh orang-orang yang ada kepentingan seperti ahli perniagaan yang akan cuba cari manfaat dengan cara memberi rasuah berbentuk sumbangan politik. Jadi dalam Kabinet Perdana Menteri ini, dia tak mahu itu berlaku," katanya kepada Bernama.
Menurut Mazlan kenyataan Perdana Menteri itu juga secara tidak langsung akan menambah keyakinan pelabur asing membuat pelaburan di negara ini sekali gus membantu dalam memulih dan memperbaiki kedudukan ekonomi negara.
"Salah satu faktor untuk orang luar melabur di negara kita adalah Indeks Persepsi Rasuah. Kalau kerajaan yang ada sekarang diketahui umum menentang rasuah, ia akan memberi keyakinan kepada pelabur.
"Sebab pelabur yang melabur di sesebuah negara yang amalan rasuah di atas meja, mereka takut sebenarnya sebab rasuah ini boleh menyebabkan perubahan dasar, pilih kasih dan birokrasi yang tidak dijangka...jadi pelabur akan anggap itu adalah ancaman kepada pelaburan mereka," katanya.
Pendapat Mazlan itu disokong oleh Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan yang berpendapat kenyataan Perdana Menteri itu selari dengan kehendak rakyat Malaysia yang sekian lama muak dengan kes-kes ketirisan dan rasuah melibatkan ahli politik.
"Ini yang rakyat hendak sebab kita sudah lama berdepan dengan kes-kes ketirisan, rasuah yang juga melibatkan orang-orang politik. Jadi apa yang Perdana Menteri nyatakan mesti akan dapat sokongan bukan sahaja dari rakyat, tetapi juga pelabur-pelabur asing.
"Tetapi pelaksanaan juga penting, kalaulah ada kes-kes atau berita yang menyatakan anggota Kabinet beliau terlibat dengan kronisme atau nepotisme, perlu diambil tindakan. Jika tidak diambil tindakan, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap beliau," katanya.
Bagi memantau prestasi Kerajaan Perpaduan, Dr Muhammad mencadangkan kepada Anwar supaya memastikan semua menteri dan timbalannya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertentu sebagai ukuran.
KPI itu menurut Muhammad bertujuan membantu memberikan panduan yang jelas tentang objektif kerajaan dan menyediakan cara untuk menilai prestasi mereka.
"Semasa mereka berusaha untuk mencapai KPI mereka, adalah penting untuk kemajuan dan pencapaian mereka dilaporkan kepada rakyat tepat pada masanya dan telus. 'Kad Laporan' ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Perpaduan untuk menjadi telus, mengamalkan tata kelola yang baik, membasmi rasuah dan mengamalkan akauntabiliti," katanya.
Anwar semalam ketika berucap pada Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri Bersama Ulama dan Asatizah menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur sekiranya budaya rasuah dan salah guna kuasa wujud dalam kerajaan pimpinannya.
Menurut Anwar, mana-mana menteri di dalam Kerajaan Perpaduan pimpinannya yang didapati terlibat dengan perkara itu akan dipecat serta-merta.
--BERNAMA