Kenduri pil kuda depan anak, isteri doa suami ditahan
Vivi Sumanti
Ogos 14, 2017 14:00 MYT
Ogos 14, 2017 14:00 MYT
'Saya cuma harap dia ditangkap polis,'' itu doa seorang isteri yang tidak tahan dengan ketagihan pil kuda suaminya.
Bagi Liza (bukan nama sebenar), perkahwinan berusia 15 tahun kini tiada makna sejak suaminya terjebak dengan pil kuda.
''Saya tidak tahan perbuatannya menghisap pil kuda di depan anak-anak. Biarlah polis tangkap,'' luah ibu berusia 34 tahun itu.
Ujarnya, suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dia bersama empat anak masing-masing berusia 14, lapan, lima dan satu tahun yang bertungkus lumus mencari rezeki hasil jualan barangan lusuh.
Setiap hari dia bersama anaknya yang berusia lima dan satu tahun akan keluar mencari kotak sementara dua lagi anaknya bersekolah.
Suaminya pula hanya hanya tahu menghisap dadah dengan wang yang diperoleh hasil jualan kotak dan besi buruk.
''Anak bagi tahu ayah dah lama hisap dadah tapi sekarang baru saya tahu. Anak saya sudah banyak kali melihat dia menghisap dadah di dalam tandas,'' katanya.
Liza juga bimbang untuk melaporkan perbuatan suaminya kepada pihak berkuasa kerana sering diugut dan dipukul jika tidak memberikan wang untuk membeli dadah.
Justeru katanya, tiada apa lagi yang mampu diharapkan selain suaminya itu ditangkap.
Malah Liza juga yakin mampu menyara sendiri anak-anaknya dengan hasil jualan barangan lusuh.
''Saya mampu bagi makan anak-anak dengan kutip sampah. Biarlah dia (suami) ditangkap. Jangan dia jadi contoh tidak elok kepada anak-anak,'' ujarnya.