Kenduri orang Islam di Sarawak bersyarat dibenarkan mulai 1 Julai

Astro Awani
Jun 26, 2020 14:33 MYT
Majlis akad nikah boleh dilaksanakan di pejabat agama Islam bahagian dan masjid atau surau yang diberi kebenaran oleh JAIS. FOTO: Astro AWANI
Berkuatkuasa 1 Julai 2020, majlis kenduri pertunangan, perkahwinan, tahlil dan doa selamat kini dibenarkan bagi seluruh negeri Sarawak.
Perkara ini diumumkan Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu kebenaran penganjuran majlis berkenaan turut melibatkan masjid dan surau.
Bagaimanapun majlis tidak boleh dihadiri lebih 250 orang dengan mematuhi penjarakan sosial satu meter.
Majlis akad nikah pula boleh dilaksanakan di dua tempat.
Pertama di pejabat agama Islam bahagian dengan maksimum kehadiran 13 orang termasuk pasangan pengantin, wali dan saksi.
Kedua di masjid atau surau yang diberi kebenaran oleh JAIS dengan jumlah maksimum kehadiran 20 orang.
Selain itu, individu yang disahkan positif COVID-19 atau yang masih dalam notis kuarantin atau mempunyai gejala demam, batuk dan sesak nafas adalah dilarang hadir.
#AWANI Sarawak #COVID-19 #JAIS #kenduri #Majlis Islam Sarawak #MIS #perkahwinan #pertunangan #Sarawak #tahlil
;