'Kenduri durian': Polis ambil keterangan Timbalan Speaker, 14 individu lain

Sinar Harian
Julai 3, 2021 21:38 MYT
Phak polis sebelum ini memberitahu akan memanggil Mohd Rashid dan semua yang terlibat dalam video tersebut untuk membantu siasatan. - Gambar/ Media sosial
BATU PAHAT: Polis setakat ini sudah memanggil 15 individu termasuk Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang terlibat dalam 'kenduri durian' di sebuah dusun di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, semua individu terlibat sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa berada di kebun itu.
Menurut beliau, Mohd Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat itu sudah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada jam 3 petang kelmarin (Khamis) untuk memberi kenyataan.
Kenduri Durian | Polis telah ambil keterangan semua terlibat
"Pihak polis sudah selesai merakam keterangan kesemua mereka dan akan melengkapkan siasatan serta merujuk kes berkenaan kepada Pejabat Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
BACA: Kenduri durian: Rashid Hasnon percaya itu video lama, akur disiasat polis
BACA: Dijamu durian: Timbalan Speaker mohon maaf, akui keliru dan sedia disiasat
Ismail berkata, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
Pada Selasa, tular video Mohd Rashid makan durian beramai-ramai di sebuah kebun bersama-sama rombongan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraidah Kamaruddin ke daerah ini.
Jelas Mohd Rashid yang kemudian tampil memohon maaf, video yang tular pada Selasa merupakan lawatannya ke kebun durian kampung diusahakan masyarakat setempat yang mana terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, kebun dilawati itu merupakan satu daripada kebun durian di daerah ini yang terjejas dengan PKP.
Susulan itu, IPD Batu Pahat dalam satu kenyataan memberitahu, pihak polis akan memanggil Mohd Rashid dan semua yang terlibat dalam video tersebut untuk membantu siasatan.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN SINAR HARIAN: 'Kenduri' durian: Polis ambil keterangan Timbalan Speaker, 14 individu lain
#Timbalan Speaker #Dewan Rakyat #Rashid Hasnon #langgar SOP #PKP #makan durian #kenduri durian #siasatan
;