Kenderaan rosak diserang gajah di JRTB Gerik-Jeli
Bernama
Oktober 24, 2024 10:50 MYT
Oktober 24, 2024 10:50 MYT
IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima laporan beberapa kenderaan rosak akibat diserang sekumpulan gajah liar berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, aduan mengenai kejadian itu diterima kira-kira 10 malam tadi dan lapan kakitangan Perhilitan telah digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kakitangan Perhilitan telah menghalau kesemua gajah dengan menggunakan kaedah tembak dan halau.
"Dianggarkan kira-kira 25 hingga 30 ekor gajah berada di tempat kejadian ketika itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, media melaporkan sekurang-kurangnya lima buah kenderaan rosak akibat diserang sekumpulan gajah liar dalam kejadian kira-kira 9 malam.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa. - BERNAMA