Kenderaan milik JAKOA terbabit kemalangan, empat cedera

Madiha Abdullah
Jun 28, 2024 23:00 MYT
Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan. - X/@HezeriSamsuri
KUALA LUMPUR: Empat penumpang kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) cedera selepas kenderaan itu bergesel dengan sebuah kereta pelbagai guna (MPV) di KM 47.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt. Zaiham Mohd Kahar dalam satu kenyataan memaklumkan, empat penumpang itu terdiri dari seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan tiga perempuan, masing-masing berusia 15 hingga 39 tahun, kini sedang menerima rawatan di Hospital Temerloh.
Pemandu kedua-dua kenderaan, termasuk pemandu MPV warga asing, tidak mengalami kecederaan.
"Hasil siasatan awal, pihak polis mendapati MPV yang berada di sebelah kiri dari arah Kuala Lumpur menghala ke Jeli, Kelantan telah bergesel dengan sebuah kereta pacuan empat roda (4×4) yang dipandu di sebelah kanan laluan berkenaan," katanya.
Zaiham juga meminta kerjasama saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video yang mendakwa kemalangan membabitkan sebuah ambulans milik JAKOA.
#kemalangan #JAKOA #Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak #video tular #Ambulans
;