Kenderaan mikro mobiliti: KKR bantu sediakan sebarang keperluan MOT - Fadillah

Fareez Azman
Mei 23, 2022 16:03 MYT
Menurut Fadillah pihaknya akan mempertimbangkan sekiranya terdapat keperluan menyediakan jalan baharu khusus buat laluan kenderaan mikro mobiliti. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan membantu menyediakan apa sahaja keperluan Kementerian Pengangkutan berhubung garis panduan penggunaan kenderaan mikro mobiliti (seperti e-skuter).
Menurut Menteri Kanannya, Datuk Seri Fadillah Yusof, pihaknya akan mempertimbangkan sekiranya terdapat keperluan menyediakan jalan baharu khusus buat laluan kenderaan mikro mobiliti.
"Yang itu kita akan bincang mengikut keperluan Kementerian Pengangkutan dan kita akan membantu apa sahaja keputusan dasar dan dari segi pelaksanaan, kalau diperlu kita akan menyediakan.
"Tapi cabarannya sama juga dengan lorong motosikal, kalau kita nak membuat lorong motosikal di seluruh Malaysia kosnya agak tinggi.
"Kedua, apa yang ada misalnya di lebuh raya KESAS, orang tidak berani gunakan lorong motosikal sebab kadang-kadang sunyi dan berlaku bukan sahaja vandalisme kadang-kadang tindakan jenayah akan berlaku, jadi kita kena lihat dari sudut keseluruhan aspek sudut dan kawalan keselamatan perlu dipertingkatkan," jelasnya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka KKR di ibu negara pada Isnin.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan pihaknya sedang menyiapkan satu garis panduan penggunaan kenderaan mikro mobiliti di negara ini.
Jelasnya, kerajaan tidak menghalang penggunaan kenderaan terbabit, namun ia memerlukan kawasan persekitaran yang kondusif agar sebarang kemalangan dapat dielakkan.
Tambahnya, antara yang terlibat dalam menyediakan garis panduan itu ialah agensi serta kementerian berkaitan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
#Mikro Mobiliti #KKR #MOT #lebuh raya #garis panduan
;