Kenderaan lebih muatan punca kerosakan jambatan Bailey di Jalan Kuantan-Segamat - JKR
Bernama
April 14, 2024 07:20 MYT
April 14, 2024 07:20 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah kenderaan berat yang tinggi terutama melebihi had muatan 20 tan dikenal pasti sebagai punca kerosakan jambatan Bailey di Seksyen 102, Laluan Persekutuan 12 Jalan Kuantan-Segamat di Pekan, Pahang, menurut Jabatan Kerja Raya (JKR).
JKR dalam kenyataan malam tadi memaklumkan hasil pemantauan di tapak mendapati plat keluli yang menyambungkan ramp ke jalan tuju telah rosak.
Menurut JKR, jambatan Bailey itu dibuka kepada kenderaan ringan tidak melebihi had muatan 20 tan pada 27 Jan lepas, bertujuan menghubungkan jalan terputus akibat banjir pada awal Januari yang lalu.
"Mengambil kira aliran trafik semasa yang tinggi, kerja pembaikan kerosakan hanya sesuai dilaksanakan selepas musim perayaan berikutan pembaikan jambatan Bailey akan melibatkan penutupan keseluruhan jalan di lokasi tersebut," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut pada masa sama, JKR Negeri Pahang telah memasang lampu solar di sekitar laluan yang dikenal pasti sebagai usaha meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut JKR, kerajaan telah meluluskan pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh pada awal Januari lepas.
"Semua pengguna di laluan tersebut dimohon bersabar, berhati-hati serta mematuhi had laju yang ditetapkan. JKR juga memohon semua pengguna jalan raya terutamanya kenderaan berat agar mematuhi had muatan ditetapkan demi keselamatan dan keselesaan bersama," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, satu video memaparkan jambatan Bailey berkenaan mendap serta kesesakan lalu lintas di laluan tersebut sewaktu musim perayaan Aidilfitri tular di laman media sosial.
-- BERNAMA