Kenderaan lebih muatan, jangka hayat luput punca jalan raya mudah rosak - JKR Sabah

Bernama
Mei 23, 2022 20:08 MYT
JKR mengesan kegiatan kenderaan membawa lebih muatan antaranya kelapa sawit dan kayu balak terutama kawasan luar bandar, menyebabkan jalan raya dibina cepat rosak. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Kehadiran jentera lebih muatan terutama di kawasan luar bandar dan jangka hayat luput merupakan antara faktor utama jalan raya di negeri ini mudah rosak, kata Pengarah Kerja Raya Sabah Ali Ahmad Hamid.
Beliau berkata pihaknya mengesan terdapat kegiatan kenderaan membawa lebih muatan antaranya membawa kelapa sawit dan kayu balak menggunakan jalan tersebut terutama di kawasan luar bandar, menyebabkan jalan raya dibina menghadapi tekanan berlebihan seterusnya cepat rosak.
Katanya mereka yang terlibat dengan kegiatan ini amat licik kerana mengetahui cara untuk mengelak penguat kuasa, antaranya melalui jalan itu pada pukul 1 pagi dan mempunyai komunikasi radio untuk mengesan pergerakan pihak berkuasa.
Beliau menjelaskan struktur lapisan jalan menjadi mampat dan dimasuki tanah apabila dilalui kenderaan lebih muatan mengakibatkan tebal jalan berkurangan dan struktur jalan menjadi lemah.
"Kita tidak nafikan kadang-kadang kualiti pembinaan (jalan raya) itu juga isu, tidak diselia dengan bagus menyebabkan jalan raya itu cepat rosak, tetapi isu lebih penting (ialah) jalan ini cepat rosak disebabkan kenderaan lebih muatan," katanya dalam temu bual mengulas isu kerosakan jalan raya di negeri ini secara dalam talian menerusi YouTube hari ini.
Ali Ahmad berkata semua pihak termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia, JKR, pengusaha kelapa sawit dan juga penduduk tempatan perlu bekerja sebagai satu pasukan bagi mengekang kegiatan kenderaan lebih muatan yang merosakkan jalan raya di negeri ini.
Selain itu, beliau berkata setiap jalan raya yang dibina mempunyai jangka hayat tertentu dan pihaknya mendapati kebanyakan jalan raya Persekutuan, terutama di sekitar laluan Pan Borneo, telah melepasi jangka hayatnya.
Katanya apabila jalan raya itu melepasi jangka hayat, jalan itu akan mudah rosak dan penyelenggaraan tidak dapat dilakukan dengan berkesan, justeru tindakan membina semula adalah langkah terbaik.
"Bukan bermakna tiada penyelenggaraan jalan dibuat, kerja penyelenggaraan itu dibuat tetapi masalahnya kita juga ada menghadapi kekangan peruntukan," katanya.
-- BERNAMA
#JKR Sabah #jalan rosak di Sabah #Ali Ahmad Hamid #jentera lebih muatan
;