Kenderaan hilang kawalan, petugas politeknik maut kemalangan
Astro Awani
Mac 23, 2021 00:39 MYT
Mac 23, 2021 00:39 MYT
HULU TERENGGANU: Seorang pembantu tadbir maut selepas kereta yang dipandu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
Siti Baizura Mat Hussin, 34 tahun, yang bertugas di Politeknik Hulu Terengganu (PHT) meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.
Nahas berlaku di kilometer 15 Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris di selekoh berhampiran Dewan Sivik Kampung Tengkawang kira-kira jam 5.15 petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Pesona dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.
Setiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandunya terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva.
Akibat kemalangan itu pemandu Perodua Viva tersebut, Ab Khalil Mat Nor, 66 tahun dan isterinya Hasnah Abdullah, 65 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami cedera ringan.
Pasangan warga emas terbabit dalam perjalanan dari Felda Jerangau Barat menghala ke Chalok Setiu.
Ketiga-tiga mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba di lokasi kejadian.
Ketika kejadian permukaan jalan basah serta licin akibat hujan renyai.
Jenazah mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
Manakala pasangan warga emas yang cedera dirawat di hospital yang sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kenderaan hilang kawalan
#petugas politeknik
#kemalangan
#Politeknik Hulu Terengganu
#PHT
#Siti Baizura Mat Hussin
#Proton Pesona
#Perodua Viva
#Ab Khalil Mat Nor
#Hasnah Abdullah