Kenderaan elektrik harga bawah RM100,000 akan dibawa masuk - Nik Nazmi

Astro Awani
Disember 14, 2022 16:31 MYT
Nik Nazmi berkata, kenderaan EV akan dijual dengan lebih rendah sekiranya ada syarikat tempatan yang memasang kenderaan itu di negara ini. - Gambar fail
BANGI: Kerajaan bercadang untuk membawa masuk kenderaan elektrik (EV) di bawah harga RM100,000 bagi memastikan bukan hanya golongan berpendapatan tinggi mampu menggunakan kenderaan tersebut.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cadangan itu bagi membolehkan golongan berpendapatan sederhana turut dapat menyumbang kepada sasaran pengurangan karbon dioksida.
“Sekarang kebanyakan EV yang masuk dalam pasaran kita adalah RM100,000 ke atas, jadi kita nak pergi kepada pasaran yang lebih besar iaitu RM100,000 ke bawah.
“Itu kita akan tengok bagaimana kerajaan dapat main peranan bersama dengan kerjasama syarikat-syarikat automotif,” katanya selepas melancarkan stesen pengecas EV Bangi Golf Resort hari ini.
Malah Nik Nazmi berkata, kenderaan EV akan dijual dengan lebih rendah sekiranya ada syarikat tempatan yang memasang kenderaan itu di negara ini.
“Kerajaan sedang lihat bagaimana kalau kita dapat bawa masuk kenderaan EV yang lebih mampu milik, dan antara saya ingat, faktor penting adalah bila Proton sekarang akan bawa masuk kenderaan Geely dalam masa terdekat namun itu dari luar negara.
“Kalau kita dapat pasang kenderaan itu di Malaysia mungkin akan bantu kita untuk tawarkan kenderaan-kenderaan EV yang (harga) lebih rendah,” katanya lagi.
Untuk rekod, kerajaan sebelum ini menawarkan insentif dalam bentuk pengecualian cukai langsung dan tidak langsung bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan kenderaan EV, pembuatan komponen serta pembangunan ekosistem seperti fasiliti pengecasan.
Langkah itu selari dengan Dasar Automotif Nasional yang menggariskan inisiatif khusus bagi memperkukuh ekosistem EV seperti pembuatan komponen kritikal, penetapan standard dan menggalakkan aktiviti pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi untuk membangunkan teknologi tempatan.
#Nik Nazmi Nik Ahmad #kenderaan elektrik #EV #stesen pengecas EV #PM10
;