Kenderaan dinaiki Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi terlibat kemalangan
Hasimi Muhamad
Julai 26, 2019 07:45 MYT
Julai 26, 2019 07:45 MYT
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari Tanjung Piai, Johor, awal pagi Sabtu.
Menerusi kemaskini di laman Facebook, Asyraf Wajdi berkata, kenderaan dinaiki mereka telah merempuh sebuah motosikal yang berada di tengah-tengah Lebuh Raya Utara-Selatan di kilometer 43, Sedenak.
Katanya, ketika kejadian kawasan jalan raya gelap gelita.
“Mujurlah penunggangnya (motosikal) yang terjatuh lebih awal sempat mengesot ke laluan kecemasan.
“Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa. Moga Allah S.W.T sentiasa melindungi dan memelihara kami daripada sebarang musibah mendatang dalam mengharungi perjuangan ini,” demikian katanya dalam entri tersebut, hari ini.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik, kenderaan berwarna hitam itu kelihatan mengalami kerosakan pada bahagian depan akibat rempuhan tersebut.
Sebelum itu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam entri sama memaklumkan beliau hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Tanjung Piai.
“Inilah saat terbaik untuk meniup kembali semangat, roh dan idealisme perjuangan berteraskan prinsip Agama yang sejati,” katanya.
Susulan insiden tersebut, rata-rata netizen meluahkan ucapan takziah dan melahirkan rasa syukur kerana kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.