Kenderaan dihantar pulang, kembara siap sedia ke tanah suci
Bernama
Ogos 26, 2017 12:42 MYT
Ogos 26, 2017 12:42 MYT
Setelah lima hari terkandas di Dubai dek tiada kepastian berhubung visa haji, peserta Kembara Inspirasi Haji kini bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan menuju destinasi terakhir mereka, Makkah, setelah rayuan untuk mendapatkan visa haji termakbul.
Khabar gembira ini dimaklumkan kepada mereka oleh Pengarah projek, Khir Ariffin yang pulang ke tanah air untuk menemui beberapa pihak tertentu yang bertanggungjawab dalam pengeluaran visa haji seperti Tabung Haji dan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.
Peserta kembara akan menyambung perjalanan ke tanah suci dengan menaiki kapal terbang pada malam Ahad setelah melakukan pengembaraan sejauh 14,700km bermula dari masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan UAE.
"Alhamdulillah, kami berasa terharu dan bersyukur ke hadrat Allah SWT. Atas daya usaha yang seolah-olah sudah berakhir namun berkat usaha dan doa keluarga, saudara mara dan orang terdekat serta pengikut facebook kembara, perkara yang difikirkan mustahil, kita dapat juga visa pada saat akhir beberapa minit sebelum kedutaan Arab Saudi tutup petang tadi (Jumaat)," kata Khir dengan nada sedih dan terharu atas kejayaan memperoleh visa haji itu.
Beliau mengucapkan jutaan terima kasih juga kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung seperti menteri-menteri dan pegawai-pegawai serta kedutaan Arab Saudi.
Antaranya, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Duta Arab Saudi di Malaysia Mahmoud Hussen Qattan, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengurus Besar bahagian Operasi Domestik, Datuk Ruzman Ahmad Razali.
Selain itu, Khir merakamkan penghargaan kepada Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Datuk Yubazlan Yusof dan orang perseorangan seperti warga Malaysia Kapten Othman Mat Taib yang menghulur banyak bantuan selain memberi inspirasi semasa mereka dalam kebuntuan.
"Tanpa doa dan sokongan semua, program Kembara Inspirasi Haji mungkin hanya berakhir di Dubai," kata Khir.
Sebaik sahaja mendapat perkhabaran gembira memperoleh visa haji itu, peserta kembara di sini tersenyum lebar serta mengucap syukur dan terus membuat persiapan terakhir ibadah haji seperti cara pemakaian kain ihram dan mengulangkaji proses mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
"Nampak pada mula tak ada jalan tetapi ternyata Allah SWT pemilik tanah haram yang menentukan segalanya dan sekarang kami berlatih memakai kain ihram dan berbincang mengenai proses mengerjakan haji," kata peserta termuda kembara Mohd Izam Mohd Nor.
KEMBARA-HAJI 3 DUBAI
"Saya gembira dan berdebar menanti untuk menuju tanah haram, semoga kita sihat dalam melaksanakan ibadah haji dengan sempurna dan mudah-mudahan dikurniakan haji mabrur," katanya.
Bagi Jasmi Jantan, beliau tidak henti-henti bertalbiah sebaik sahaja menerima berita gembira itu setelah memikirkan nasib mereka yang terkandas lima hari di sini.
"Walaupun logik akal mengatakan sukar untuk mendapatkan visa haji di saat-saat begini, tetapi berkat doa rakan dan usaha beberapa pihak, kami dapat juga visa haji. Kami akan ke Makkah Ahad ini dengan perasan gembira setelah 33 hari bermusafir. Kini impian yang ditunggu akhirnya tiba dan kami berharap Allah SWT menerima haji kami nanti," katanya.
Muhammad Shahuri Zainuddin, dengan linangan air mata, pula berkata: "Tak tau nak cakap apa. Ini kuasa Allah SWT... yang tak boleh, tetapi dibolehkan. Pada saat ini air mata saya dan rakan-rakan mengalir, ini yang dinamakan pengorbanan dan ketahanan jiwa dan ketakwaan. Insya-Allah Ahad ini kami akan ke Makkah."
Sementara itu keluarga peserta di Malaysia mengucap syukur dan meluahkan perasaan lega serta gembira setelah mengetahui peserta kembara sudahpun mendapat visa haji yang membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke tanah suci.
KEMBARA-HAJI 4 (AKHIR) DUBAI
Hamidah Jantan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang membantu sehingga berjaya mendapatkan visa haji untuk peserta kembara termasuk untuk adiknya Jasmi dan isterinya Zuraini Abdul Malek.
Ketika menunggu berita gembira mengenai visa haji itu, semua peserta kembara berpuasa sunat Zulhijjah.
Dalam pada itu, kedua-dua kenderaan pacuan empat roda yang digunakan sepanjang pengembaraan itu telah dihantar pulang ke Malaysia menerusi agensi penghantaran pulang kenderaan di sini pada Jumaat.
-- BERNAMA