Kenderaan bertembung, dua maut, satu cedera

Aida Aziz
Februari 24, 2019 10:00 MYT
Keadaan Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan maut di Batu 10, Hutan Melintang awal pagi ini, 24 Feb, 2019. Foto bomba
Dua maut manakala seorang lagi cedera apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi bertembung dengan sebuah pacuan empat roda, Toyota Hilux di Batu 10, di sini pada Ahad.
Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), pihaknya menerima panggilan pada jam 4.09 pagi berhubung insiden itu dan mendapati kedua-dua mangsa dari Perodua Myvi maut di tempat kejadian.
"Setibanya jentera FRT A1-56 Hutan Melintang di tempat kejadian, mendapati kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan.
"Seorang mangsa lelaki berumur 25 tahun tidak tersepit berada di sebelah pemandu, manakala seorang lagi mangsa lelaki berumur 27 tahun tersepit di tempat pemandu.
"Bagaimanapun pemandu Hilux yang berumur 27 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Mokhtar Yaakub itu tamat pada jam 6.17 pagi seteleh anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
#bomba #Hilux #Hutan Melintang #kemalangan #maut #Mokhtar Yaakub #Myvi #polis #tersepit
;