Kenderaan berat tidak patuh had masa di lebuh raya akan disita - JPJ

Hilmi Malik
Januari 20, 2023 18:17 MYT
Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya juga turut bekerjasama dengan pihak konsesi lebuh raya bagi melaksanakan pemantauan tersebut. - Astro AWANI/Hilmi Malik
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyita kenderaan berat yang tidak mematuhi tempoh masa bagi laluan di lebuh raya sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya juga turut bekerjasama dengan pihak konsesi lebuh raya bagi melaksanakan pemantauan tersebut.
"JPJ tidak akan kompromi dengan kesalahan seumpama ini dan tindakan penyitaan boleh dibuat terhadap mana-mana pihak yang ingkar dengan pelaksanaan ini.
"Larangan ini bertujuan untuk elakkan risiko berlakunya nahas jalan raya akibat percampuran aliran trafik kenderaan berat dan ringan," katanya ketika sidang media selepas lawatan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada Jumaat sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Larangan bagi kenderaan berat itu dibuat dua hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina serta dua hari selepas musim perayaan tersebut.
Bagaimanapun, terdapat beberapa kategori kenderaan berat yang masih dibenarkan melalui kawasan lebuh raya.
Namun ia bergantung kepada had masa yang ditetapkan selain turut mengambil kira kenderaan di bawah perkhidmatan keperluan asas.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes kemalangan di Kilometer (KM) 259.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Port Dickson.
Insiden terbabit turut meragut nyawa sepasang suami isteri yang rentung berikutan kebakaran treler tersebut.
Kejadian sekitar jam 8.40 pagi Jumaat itu juga menyebabkan semua lorong terhalang dan berlaku kesesakan lalu lintas sejauh lebih enam kilometer.
Dalam pada itu, Aedy turut memaklumkan, Op Bersepadu sempena musim perayaan itu tidak akan melibatkan sebarang sekatan jalan raya.
Ujarnya, tindakan itu bagi memastikan tiada sebarang kesesakan lalu lintas sepanjang musim perayaan berkenaan.
"Kita akan gerakkan 2,000 anggota JPJ di kawasan hotspot yang kerap berlaku kesalahan lalu lintas.
"Ini termasuk menempatkan anggota yang akan menyamar khususnya pemantauan terhadap pemandu bas," katanya lagi.
#JPJ #lebuh raya #kenderaan berat #Tahun Baharu Cina
;