Kenderaan berat masih degil, langgar arahan tempoh larangan - PDRM

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 1, 2022 15:03 MYT
Kenderaan berat yang masih berdegil dan berada di atas lebuh raya akan menyebabkan aliran lalu lintas bertambah perlahan. - Astro AWANI
NILAI: Sebilangan pemandu yang menggunakan kenderaan berat dan perdagangan masih tidak mematuhi arahan supaya tidak menggunakan laluan lebuh raya selama lima hari sempena sambutan Aidilfitri.
Tinjauan Astro AWANI di laluan lebuh raya menuju ke arah selatan tanah air mendapati, masih banyak kenderaan dalam kategori itu menggunakan laluan tersebut.
Tindakan itu boleh mengundang masalah kepada pengguna jalan raya yang lain dan boleh menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, apatah lagi ketika orang ramai mula berpusu-pusu pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Ketua Penolong Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superitendan Bakri Zainal Abidin, tindakan mereka itu amat tidak bertanggungjawab selepas arahan larangan telahpun dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan sebelum ini.
"Tujuan larangan dibuat adalah supaya kita nak hadkan pergerakan kenderaan berat yang tidak perlu ini untuk berada di jalan raya.
"Ia dikategorikan kepada tiga jenis iaitu 1, 2 dan 3. Kategori 1 iaitu kenderaan 7,500 kilogram ke atas adalah dilarang sama sekali ketika tempoh larangan iaitu 30 April, 1 dan 2 Mei serta 7 Mei hingga 8 Mei," jelasnya ketika melakukan tinjauan aliran trafik membabitkan laluan ke selatan hari ini.
Tambahnya lagi, kenderaan berat yang masih berdegil dan berada di atas lebuh raya akan menyebabkan aliran lalu lintas bertambah perlahan.
Ia sekali gus akan menyebabkan berlakunya kesesakan yang akan memburukkan lagi keadaan
Dalam masa yang sama juga, pihak polis katanya, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pesalah trafik terutamanya membabitkan penggunaan lorong kecemasan.
"Pihak PDRM menggunakan segala kemampuan yang ada termasuk penggunaan dron bagi mengesan pesalah trafik ketika ini.
"Ia berkemampuan mengambil gambar kenderaan yang melakukan kesalahan termasuk nombor pendaftaran dan mereka ini akan menerima notis saman," katanya lagi.
#lebuh raya #kenderaan berat #kesesakan #Aidilfitri
;