Kenderaan berat dilarang guna jalan raya selama empat hari sempena Tahun Baharu Cina - JPJ
Bernama
Februari 6, 2024 04:45 MYT
Februari 6, 2024 04:45 MYT
KAJANG: Kenderaan berat dilarang menggunakan jalan raya selama empat hari bermula 8, 9, 12 dan 13 Feb sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata larangan ini bertujuan bagi memastikan kelancaran trafik bagi mereka yang hendak pulang ke kampung atau bercuti.
“Tindakan tegas akan dikenakan bagi mana-mana syarikat atau individu yang tidak mematuhi larangan berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan bas di Depoh Transnasional Ekspress di sini pada Selasa.
Mengenai pemeriksaan semalam, Lokman berkata JPJ telah melakukan pemeriksaan terhadap 361 buah bas ekspres di 54 depoh di seluruh negara sejak Sabtu lepas.
Beliau berkata dalam pemeriksaan itu, sebanyak 12 bas ekspres telah diambil tindakan dan 10 lagi dikenakan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) kerana melanggar peraturan teknikal yang ditetapkan.
Lokman berkata selain pemeriksaan teknikal dan layak untuk dipandu di jalan raya yang melibatkan sistem brek, tayar, lampu, dokumen kenderaan dan pemandu, turut dijalankan pemeriksaan terhadap status saman pemandu dan syarikat bas.
"Pemeriksaan ini dijalankan secara berterusan sepanjang musim cuti persekolahan ini," katanya.
Beliau berkata JPJ memandang serius dan tidak berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu bas ekspres yang melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.
"Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna," katanya.
-- BERNAMA