Kenderaan barangan dilarang guna jalan raya pada 29 dan 30 Mac, 5 dan 6 April
Bernama
Mac 10, 2025 22:00 MYT
Mac 10, 2025 22:00 MYT
Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika sidang media selepas mengadakan Ops khas terhadap kenderaan yang melalui kawasan Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Semenyih dan berbuka bersama anggota hari ini. - Foto BERNAMA
SEMENYIH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan penguatkuasaan Larangan Pemanduan ke atas Kenderaan Barangan sempena sambutan Aidilfitri selama empat hari.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata larangan itu berkuat kuasa pada 29 dan 30 Mac, iaitu sebelum Hari Raya serta 5 dan 6 April (selepas perayaan).
Beliau berkata larangan itu dilaksanakan mengambil kira peningkatan trafik ketara bagi kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman, selain mengurangkan risiko nahas jalan raya.
"Kementerian Pengangkutan dan JPJ ingin mengingatkan kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan barangan supaya mematuhi larangan pemanduan tersebut," katanya kepada pemberita selepas program Operasi Khas JPJ dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anggota Penguatkuasa JPJ di Stesen Penguatkuasa JPJ Semenyih hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.
Loke berkata kenderaan barangan yang gagal mematuhi larangan berkenaan akan dikenakan tindakan kompaun RM300 atau denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika sabit kesalahan.
Terdahulu dalam ucapannya, Loke berkata hasil penguatkuasaan dan operasi khas sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini berjaya menurunkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 10 peratus kepada 7,882 kemalangan berbanding 8,784 tahun lepas.
Beliau berkata sebagai usaha berterusan kementerian dan JPJ untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di musim perayaan, Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 akan dilaksanakan bermula 24 Mac hingga 8 April di seluruh negara.
Beliau berkata operasi tersebut akan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan atau undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa.
"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan serta memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan semasa memandu.
"Laporkan sebarang aduan berkaitan kesalahan lalu lintas sepanjang musim perayaan melalui aplikasi MyJPJ menu e-Aduan@jpj atau melalui e-mel rasmi aduan JPJ aduantrafik@jpj.gov.my," katanya.
-- BERNAMA