Kencing tikus: Elak terdedah air banjir dalam tempoh yang lama
Bernama
Disember 1, 2016 16:06 MYT
Disember 1, 2016 16:06 MYT
Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada terdedah kepada air banjir dalam tempoh yang lama atau kerap bagi menghindari jangkitan kencing tikus sewaktu musim banjir.
Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Madya Dr Hafizan Juahir berkata air banjir adalah air yang tercemar dengan pelbagai bakteria seperti E-coli dan kolifom.
"Bagi mereka yang mempunyai luka atau terminum air kotor, sekiranya air banjir yang kotor ini memasuki badan melalui rongga-rongga di tubuh, ia juga boleh mengakibatkan risiko jangkitan kencing tikus.
"Pastikan sisa makanan dan sampah sarap dibersihkan dan diletakkan di dalam bekas tertutup seperti tong sampah atau plastik.
"Sampah sarap terutama sisa makanan adalah bahan yang boleh menjadi tarikan kepada binatang yang pembawa penyakit untuk datang ke persekitaran rumah, terutama di kawasan terjejas banjir," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dr Hafizan berkata berdasarkan kajian ke atas pelbagai kes yang disyaki penyakit kencing tikus menunjukkan bahawa ciri-ciri klinikal, faktor alam sekitar dan sosioekonomi sangat berkait rapat dengan penyakit tersebut.
"Leptospirosis atau kencing tikus telah diiktiraf sebagai masalah kesihatan awam global kerana perkadaran wabak dan kejadian yang semakin meningkat dalam negara-negara yang sedang membangun dan negara membangun.
"Wabak ini biasanya berlaku selepas banjir disebabkan oleh hujan lebat bermusim seperti yang sedang melanda negara kita sekarang ini.
"Kajian Epidemiologi menunjukkan jangkitan biasanya dikaitkan dengan bidang pekerjaan seperti petani, pekerja kumbahan, veterinar dan pengendali haiwan tertentu. Leptospirosis boleh juga dijangkiti semasa aktiviti riadah seperti berkelah, berenang, berkanu dan lain-lain," katanya.
Menurutnya, pada tahun 2005, seramai 100 orang telah meninggal dunia dalam tempoh dua hari selepas berlakunya banjir besar di Mumbai, India, akibat wabak kencing tikus.
"Simptom awal leptospirosis ini biasanya adalah demam, mialgia (sengal-sengal badan), sakit kepala, selesema, muntah-muntah, dispnea (sesak nafas) dan jaundis (demam kuning).
"Berdasarkan kebanyakan kes positif jangkitan adalah berdasarkan sejarah pekerjaan, sejarah berkaitan hubungan dengan air, dan sejarah hubungan dengan haiwan.
"Anjing dan tikus merupakan pembawa jangkitan yang utama kepada manusia terutama di musim hujan dan tempat yang mengalami bencana banjir," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mengalami simptom-simptom seperti yang dinyatakan di atas, supaya segera mendapatkan rawatan perubatan kerana kelewatan berbuat demikian boleh mengakibatkan risiko kematian. -- Bernama