'Kenapa Tun M hentam Rayani Air?' - Daud Che Ngah
Wan Syamsul Amly
Januari 5, 2016 18:06 MYT
Januari 5, 2016 18:06 MYT
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menyokong operasi syarikat penerbangan baharu, Rayani Air yang memberi perkhidmatan dengan konsep patuh syariah walaupun pemiliknya jelas bukan beragama Islam.
Pendakwah bebas Datuk Md Daud Che Ngah berkata, bukan sahaja Rayani Air malah usaha murni mana-mana syarikat bukan Islam yang beroperasi dengan berlandaskan syiar tidak boleh disalah erti dengan dakwaan mencari keuntungan dengan nama agama.
"Tun M tidak boleh mendakwa konsep patuh syariah yang diperkenalkan Rayani Air hanyalah untuk mendapatkan keuntungan dengan menggunakan agama Islam.
"Jika dakwaan Rayani Air mencari keuntungan dari Islam menjadi alasan, Tun M perlu faham dia sendiri tidak boleh menghentam operasi syarikat itu yang jelas menyokong ajaran Islam.
"Tidak kira apa agama atau siapa pemilik Rayani Air, usahanya itu harus diberi pujian dan bukan sebaliknya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Md Daud mengulas kenyataan Dr Mahathir di sebuah portal yang mendakwa, konsep patuh syariah yang diperkenalkan Rayani Air hanyalah untuk mendapatkan keuntungan dengan menggunakan agama Islam.
Tegas Tun Mahathir, syarikat penerbangan Malaysian Airline System Bhd (MAS) juga tidak perlu mengikut jejak langkah penerbangan itu yang memperkenalkan konsep tersebut.
Dalam pada itu kata Md Daud, Dr Mahathir perlu merujuk kisah sedih luahan hati pramugari MAS yang terpaksa menghidangkan arak dan tidak dibenarkan memakai tudung seperti yang dimaklumkan Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin baru-baru ini.
"Sekurang-kurangnya Rayani Air jelas tidak menghidangkan arak selain membaca doa sebelum memulakan penerbangan.
"Pengurus Rayani Air beragama Islam. Adakah kerana pemiliknya bukan Islam jadi syarikat penerbangan itu boleh didakwa dengan sesuka hati?" ujarnya.
Rayani Air mempunyai 355 kakitangan, lapan juruterbang dan 50 petugas anak kapal kabin.
Nama Rayani Air merupakan hasil gabungan nama pemilik syarikat penerbangan itu iaitu Ravi Alegandrran dan isterinya Karthiyani Govindan
Pengarah Urusan Rayani Air, Jaafar Zamhari sebelum ini dilaporkan berkata, walaupun menjadi penerbangan patuh syariah pertama di negara ini, namun itu tidak bermakna Rayani Air tidak mengalu-alukan penumpang bukan beragama Islam atau mereka yang tidak bertudung di dalam kapal terbang mereka.
Rayani Air juga tidak memisahkan penumpang lelaki dan perempuan akan di dalam pesawat mereka.
Rayani Air memulakan penerbangan sulungnya pada 20 Disember lalu dengan menghubungkan terminal klia2 ke Kota Bharu dan Langkawi.
Syarikat penerbangan perkhidmatan penuh itu turut merancang memperluaskan laluan ke Sabah dan Sarawak pada Februari ini.