"Kenapa tidak bangkit isu Aceh? Saya menolong orang Islam"- Ramasamy
Rahimah Abdullah
Oktober 21, 2019 16:47 MYT
Oktober 21, 2019 16:47 MYT
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy menegaskan bahawa beliau bukan anggota kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Beliau pada masa sama membidas pihak yang membuat tuduhan berkenaan tanpa mencari kebenaran perkara itu.
Sebaliknya kata Ramasamy, beliau adalah orang yang bertanggungjawab membantu memperjuangkan perdamaian di wilayah Aceh.
"Ada laporan yang kata sama ada saya ahli LTTE. Ada dua klip. Satu semasa 2010, di Kuala Lumpur. Semasa kedatangan Seeman, Presiden Parti Naam Tamilar Katchi atau NTK, kita ada buat sambutan . Kemudian satu klip ucapan saya di Chennai selepas perang saudara di Sri Lanka.
"Klip kedua pula saya telah buat laporan polis bahawa diputarbelitkan segala yang saya berucap di Chennai di mana seolah-olah saya ditunjukkan seorang penyokong LTTE," katanya selepas memberi keterangan hampir empat jam berhubung kenyataannya di dua portal berita bulan lepas di Bukit Aman pada Isnin.
Ujarnya, ucapannya disalahertikan sehingga ada yang menuduhnya sebagai pengganas.
"Apabila kamu dengar ucapan saya, saya katakan selepas perang saudara yang tamat dan penghapusan LTTE 2009, masyarakat Tamil di Sri Lanka tidak ada pilihan tetapi mengikut lunas-lunas demokrasi. Tidak ada perang senjata lagi," katanya lagi.
Tegas Ramasamy, beliau langsung tidak ada kaitan dengan LTTE, sebaliknya hanya bertindak sebagai orang tengah dalam rundingan perdamaian di Aceh.
"Saya digambarkan seolah-olah saya seorang pengganas dan penyokong. Saya membantu orang Islam di Aceh. 99 peratus adalah Islam di Aceh. Jadi kenapa mereka yang buat fitnah ke atas cuma kata saya seorang ahli LTTE.
"Saya tidak ada kena mengena dengan perkara ini. Kenapa tidak bangkit isu Aceh, di mana saya menolong orang Islam. Saya rasa selepas kedatangan Zakir Naik ke Malaysia, isu ini tidak timbul sebelum itu," tambahnya.
Katanya lagi, beliau adalah antara tujuh anggota jawatankuasa kumpulan yang membuka jalan kepada rundingan damai berkenaan.
"Saya dipilih bukan kerana anggota dari Malaysia, tetapi kepakaran akademik dan sains politik. Jadi, tugas saya memulihkan proses perdamaian yang telah dimediasi oleh Norway.
"Enam ke tujuh orang anggota itu bukan LTTE, ia adalah berdasarkan kepada kepakaran masing-masing. Saya ada kepakaran untuk tangani konflik di dunia. Jadi pelantikan sebagai Penasihat Gerakan Acheh Merdeka, GAM adalah berdasarkan pengalaman saya sebagai profesor sains politik dan ahli akademik," kata beliau.
Tiga rundingan turut berjaya dilakukan pada 2005 dan menyaksikan akhirnya perang saudara dihentikan di Aceh.
#Aceh
#Harimau Pembebasan Tamil Eelam
#LTTE
#P Ramasamy
#penasihat gerakan acheh merdeka
#pengganas
#perang saudara