Kenapa tiada liputan media semasa lawatan Menteri Pertahanan China?
Astro Awani
September 9, 2020 22:07 MYT
September 9, 2020 22:07 MYT
Kerajaan didakwa tidak menghebahkan lawatan Menteri Pertahanan China ke Malaysia baru-baru ini, kata Ahli Dewan Negara, Senator Liew Chin Tong.
Dakwanya, berikutan itu tiada liputan media dibuat terhadap lawatan berkenaan, malah media tempatan hanya mendapat tahu mengenainya daripada beberapa sumber media di China selepas acara berlangsung.
"Ia isu penting. China dan Amerika Syarikat (AS) merupakan dua negara yang mempunyai persaingan strategik di rantau ini.
“Malaysia sebenarnya berada dalam satu rantau yang boleh terjerumus dalam krisis pada bila-bila masa terutamanya di Laut China Selatan,” katanya mempersoalkan tindakan kerajaan semasa sidang media di Dewan Negara, pada Rabu.
Ujarnya, Malaysia perlu memainkan peranan yang penting terutama menjadi pemimpin dalam menyuarakan pandangan yang penting.
"Kita perlu menjadi suara utama untuk menyuarakan pendirian ASEAN kepada AS dan China.
“Krisis yang berlaku di Laut China Selatan memerlukan Malaysia untuk bersuara secara neutral, tidak memihak kepada sesiapa.
“Kita mesti menegaskan pendirian kepada kedua-dua negara kuasa besar ini bahawa ASEAN tidak mahu memilih antara AS dan China,” jelasnya.