Kenapa takut dengan pendaftaran MUDA, soal Syed Saddiq

Ridauddin Daud
Januari 7, 2021 14:45 MYT
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kecewa ddengan tindakan RoS yang tidak langsung menyatakan sebab mereka menolak pendaftaran MUDA. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : “Kenapa takut dengan pendaftaran MUDA (Ikatan Demokratik Malaysia)?” soal pengasas bersama MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menurut Ahli Parlimen Muar itu, jika benar MUDA adalah parti serpihan, parti nyamuk dan tiada sebarang pengaruh, mengapakah sukar untuk meluluskan pendaftaran parti tersebut.
“Kalau betul-betul ikhlas ingin perkasakan demokrasi negara, junjung Perlembagaan, tidak ada sebarang sebab untuk sekat pendaftaran MUDA.
“Khususnya apabila ada pemimpin lebih tua dan berpengalaman kata MUDA ini parti nyamuk dan akan mati begitu sahaja. Kalau betul kita akan mati begitu sahaja, biarkan ia di tangan rakyat, di peti pilihan raya.
BACA: Selepas Pejuang, permohonan pendaftaran MUDA turut ditolak
“Bukan kerana sekatan demokrasi, takut untuk mendaftarkan MUDA kerana mungkin kita boleh mendapat sokongan rakyat,” katanya dalam temu bual khas bersama Astro AWANI pada Khamis.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata demikian sebagai mengulas isu penolakan pendaftaran MUDA oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Bahkan, beliau tidak menolak kemungkinan pendaftaran parti itu ditolak berikutan keadaan politik negara yang tidak menentu kebelakangan ini.
“Kalau ikut suhu politik semasa, mungkin kerana sentimen politik, mereka terpaksa menolak kerana mungkin mereka tidak ingin lihat kebangkitan orang muda.
Politik | Komen Syed Saddiq berkenaan penolakan pendaftaran parti MUDA oleh RoS
“Tapi dalam bab ini saya berharap bahawa mereka akan ikut demokrasi dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan lebih-lebih lagi penolakan itu tidak bersertakan sebab atau hujah,” ujarnya lagi.
Bergerak ke hadapan, Syed Saddiq berkata, mereka kini akan memberi tumpuan kepada pendaftaran MUDA terlebih dahulu dan tidak begitu memikirkan gabungan politik baharu.
#muda #Pejuang #ros #pilihan raya #politik #rakyat #Syed Saddiq #pendaftaran #tolak pendaftaran #demokrasi #Parlimen #Perlembagaan #Perlembagaan Persekutuan
;