"Kenapa tak bising masa kekalkan Peguam Negara?", soal Guan Eng

Ridauddin Daud
September 13, 2023 10:55 MYT
Tegas Guan Eng, ketika Idrus, yang dilantik kerajaan lama dikekalkan, tidak pula Perikatan Nasional (PN) membantah keputusan Kerajaan Perpaduan pada waktu itu. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng (PH - Bagan) menempelak sikap pembangkang yang hanya ‘bising’ selepas bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Tegasnya, ketika Idrus, yang dilantik kerajaan lama dikekalkan, tidak pula Perikatan Nasional (PN) membantah keputusan Kerajaan Perpaduan pada waktu itu.
Namun, selepas keputusan beliau yang tidak berpihak kepada mereka, secara tiba-tiba pula mereka ‘bising’ dan mempertikaikan.
Begitupun, Guan Eng tetap mahu Peguam Negara yang baru dilantik untuk menjelaskan kepada rakyat keputusan yang telah dibuat baru-baru ini.
“Saya rasa kalau penjelasan lebih menyeluruh dan telus, akan dapat meyakinkan rakyat tentang apa yang diputuskan pihak Peguam Negara.
“Saya harap kerajaan juga boleh memberikan masa setahun untuk menyempurnakan pemisahan kuasa antara pendakwa raya dan Peguam Negara.
“Hanya dengan langkah ini, barulah kita dapat yakinkan rakyat bahawa semangat reformasi yang ada dalam kerajaan perpaduan ini masih membara dan bukan seperti dilaungkan pihak tertentu,” katanya.
Tambahnya, pihak kerajaan harus akui masih ada banyak pihak yang kurang berpuas hati termasuk Majlis Peguam dan ia perlukan penjelasan segera.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Rabu.
#Idrus Harun #Lim Guan Eng #Perikatan Nasional #pembangkang
;