'Kenapa tak beri lesen kasino, alkohol kepada Bumiputera?' - Zaid Ibrahim
Astro Awani
Oktober 23, 2018 20:13 MYT
Oktober 23, 2018 20:13 MYT
Kerajaan dicadang untuk memberi lesen pusat judi dan penjualan alkohol kepada Bumiputera supaya mereka dapat bersaing dengan kaum lain dari segi ekonomi.
Cadangan ini dibuat oleh bekas menteri kabinet, Datuk Zaid Ibrahim menerusi sebuah posting di blognya, www.zaid.my, hari ini.
Katanya, dasar kerajaan yang selama ini tidak membenarkan orang Melayu menceburi perniagaan sedemikian merupakan faktor utama mereka ketinggalan.
"Kenapa tidak beri lesen kepada Bumiputera untuk buka kasino, pusat hiburan, aktiviti judi dan penjualan alkohol?
"Sektor itu merupakan sumber ekonomi yang besar yang melibatkan berbilion ringgit namun orang Melayu dihalang turut serta.
"Bagaimana orang Melayu muslim akan mampu menyaingi kaum lain dari segi ekonomi?" soalnya.
Tambah Zaid, perniagaan seperti ini telah memberi peluang kepada kaum Cina untuk melabur dalam bidang hartanah, sekaligus meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Disebabkan itu, Zaid mempersoalkan mengapa orang Melayu tidak diberikan peluang yang sama agar mereka juga mampu membeli rumah atau memiliki tanah sendiri.
"Perniagaan ini berdosa, sudah tentu, tapi sejak bila kerajaan diberikan mandat di bawah perlembagaan untuk melindungi orang Melayu daripada dosa?
"Tugas kerajaan adalah memastikan semua rakyat dapat merasai kekayaan dan kemakmuran negara. Tugas kerajaan bukan untuk memastikan orang Melayu masuk syurga," katanya.
Katanya lagi, beliau akan menyokong dasar yang tidak bersifat diskriminasi yang membolehkan Bumiputera turut serta dalam perniagaan menjual produk tidak halal.
"Sesetengah orang Melayu mudah tersinggung, tapi kita tidak harus menguruskan negara mengikut perasaan semata-mata.
"Tidak masuk akal kita boleh terima kasino besar di Genting dan menganggapnya 'kurang berdosa' tapi menghalang kasino kecil di tempat lain.
"Bumiputera dan orang Melayu yang tidak tersinggung dengan aktiviti ini perlu diberi lesen operasi," tambahnya.
#alkohol
#Bumiputera
#Cina
#kasino
#lesen
#Melayu
#orang Melayu
#pusat judi
#tidak halal
#Zaid Ibrahim