Kenapa tahan Arul, polis patut tangkap Ibrahim Ali dan Ismail Sabri sekali - SAMM
Astro Awani
Februari 20, 2015 15:29 MYT
Februari 20, 2015 15:29 MYT
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) meminta polis menahan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali terhadap kerana menimbulkan ugutan serta ketakutan kepada masyarakat.
Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Md Sani Md Shah berkata, pihaknya melihat penahanan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan tindakan yang sangat selektif dan hanya mensasarkan kepada pemain politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan pemerintah.
"Sebelum ini kartunis Zunar juga ditahan hanya kerana lakaran kartun yang sinis terhadap keputusan mahkamah tersebut.
"Bagaimana pula dengan Ismail Sabri dan Ibrahim Ali yang jelas mengancam keharmonian masyarakat dan juga satu cubaan menimbulkan ugutan dan ketakutan terhadap masyarakat umum.
"Kedua-dua kenyataan oleh dua pemimpin ini nampaknya didiamkan oleh pihak polis," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada Khamis, Arul ditahan polis dan dibawa ke Balai Dang Wangi atas dakwaan menghasut kerana mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kes liwat dan hukuman penjara ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi PSM, Dr Jeyakumar Devaraj mendakwa ia tidak sah dan menyalahgunakan Akta Hasutan 1948 yang dicipta untuk menghalang kebebasan berucap dan memberi pendapat.
Dr Jeyakumar turut menggesa polis membebaskan Arul selain dianggap menggunakan kuasa mereka untuk menghalang sebarang kritikan rakyat kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Jelas Md Sani, polis dilihat sedaya upaya cuba untuk mengekalkan status mereka di pihak Barisan Nasional (BN) dan bukan sebuah institusi penguatkuasa undang-undang yang bebas, berdaulat dan berintegriti.
"Pemerintah telah pun memusatkan seluruh kekuatan termasuklah menggunakan media dan pendakwaraya, Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah untuk terus menyerang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga kini.
"Sekarang mengapa pula melakukan tindakan tangkapan yang bertujuan untuk mendiamkan kritikan sinis terhadap mereka. Apakah yang perlu ditakutkan oleh pemerintah jika mereka sememangnya di pihak yang benar?
"Rakyat pastinya dapat menilai dengan rasional pihak manakah yang sedang memperjuangkan kebenaran hakiki," ujarnya.
Arul yang ditahan polis semalam akan dibebaskan sebelum jam 7 petang Jumaat.
Permohonan reman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Arutchelvan, atau lebih dikenali sebagai Arul, telah ditolak majistret Muslina Mohd Jamil selepas mendengar hujah berhubung penangkapannya.