Kenapa Tabung Haji beli tanah senyap-senyap? - Khairuddin

Astro Awani
Mei 7, 2015 07:10 MYT
KHAIRUDDIN: Kenapa Tabung Haji beli tanah senyap-senyap? - Gambar fail
Lembaga Tabung Haji (TH) diminta membuat perancangan untuk membangunkan tanah-tanah sedia ada milik mereka terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, rizab tanah sedia ada TH juga disifatkan masih banyak dan pembelian tanah secara senyap-senyap juga dilihat lebih tinggi daripada kadar biasa.
"Kenapa urusan ini dilakukan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan pencarum serta umum? Apa yang menghairankan Pengerusi TH, Datuk Seri Azeez Rahim juga mengaku tidak tahu sehingga terpaksa menafikannya dalam laman Twitternya pada Rabu.
"Hari ni Azeez minta pengurusan TH jawab kemelut ini seolah-olah tidak tahu menahu mengenai isu berkenaan.
"Sebagai pengerusi, Azeez sepatutnya boleh menjawab isu pelaburan hartanah TH ini sepertimana dilaporkan di dalam blog tanpa perlu menafikannya.
Bila Azeez menafikan, ia nampak seolah-olah ada benda yang tidak telus dan cuba disorok TH," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.
BACA: Tabung Haji sahkan pembelian hartanah di Tun Razak Exchange
BACA: Azeez arah pengurusan Tabung Haji jawab isu pembelian tanah 1MDB
Khairuddin mengulas kenyataan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah yang mengesahkan telah membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di pusat kewangan TRX.
Kata Johan, langkah itu sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik.
Terdahulu, Azeez dilaporkan berkata telah mengarahkan pihak pengurusan Tabung Haji untuk mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan pembelian tanah milik 1MDB seperti yang tersebar di media sosial sejak Rabu.
Dalam pada itu jelas Khairuddin, pembelian tanah itu dilihat langkah tidak berhati-hati TH dalam mengurus dana dan pelaburan.
"Di saat keadaan serta kedudukan ekonomi yang tidak menentu TH harus lebih berhati-hati di dalam membuat pelaburan khususnya hartanah yang berisiko tinggi.
"Persoalannya di sini, kenapa TH membayar 1MDB pada kadar yang begitu tinggi di mana TH juga merupakan syarikat milik kerajaan sepertimana 1MDB.
"TH sepatutnya bayar pada kadar yang lebih rendah kerana urusniaga ini adalah di antara syarikat-syarikat kerajaan. Ini tidak baik bagi imej TH itu sendiri.
"Saya juga ingin sarankan kepada TH agar tidak memperbodohkan rakyat seperti yang berlaku dalam isu 1MDB," ujarnya.
Katanya, seluruh tenaga kerja TH mesti menggalas tanggungjawab secara amanah kerana semua pencarum menyimpan duit mereka untuk tujuan ibadah.
"Kenapa segalanya hendak dilaksanakan secara sorok-sorok kepada masyarakat umum.
"Semua pencarum termasuk diri saya mempunyai hak untuk mengetahui perjalanan pentadbiran dan pelaburan TH," katanya.
#azeez #Khairuddin #Tabung Haji #TRX
;