Kenapa saya akan terus gunakan iPhone?

Ian Johan Ariff
September 19, 2019 20:19 MYT
Barangan keluaran Apple melengkapkan kehidupan Ian Johan Ariff sebagai penerbit video di platform digital Astro AWANI.
MERUJUK kepada kes Apple vs FBI pada 2015 dan 2016, di mana syarikat gergasi teknologi itu enggan bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan negara itu (FBI) untuk mencipta sebuah aplikasi bagi mendapatkan data daripada iPhone 5C milik seorang suspek pengganas, ia membuktikan Apple mempunyai polisi yang lebih kuat untuk melindungi data peribadi penggunanya.
Ini antara sebab utama saya sendiri memilih untuk memiliki sebuah iPhone yang menggunakan sistem operasi iOS yang bagi saya, secara peribadi lebih stabil, lebih mesra pengguna pada User Interface (UI) dan juga User Experience (UX) berbanding peranti yang menggunakan sistem operasi Android berdasarkan pengalaman saya menggunakan kedua-dua buah OS.
Ya boleh dapat phone Android yang lebih murah, ciri-ciri yang baharu dan lebih canggih daripada iOS, namun pengguna Android lebih terdedah kepada bahaya penggodam berbanding iOS, bukan kerana iOS mempunyai ciri-ciri keselamatan terbaik, tetapi jumlah pengguna Android yang lebih ramai menjadikannya sasaran utama.
Sehingga suku kedua tahun ini, 88.9% pasaran mudah alih dikuasai Android berbanding 11.9% yang menggunakan iOS di seluruh dunia.
Sementara di Malaysia hanya 6.5% menggunakan menggunakan iOS manakala bakinya adalah pengguna Android, iaitu peningkatan 14% pada suku kedua 2018 jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.
Tidak kira Android atau iOS, jika diberikan kepada yang tidak berpengetahuan luas dalam keselamatan siber, mereka akan terdedah kepada serangan.
Pada masa sama, terdapat juga laporan bahawa bug yang dipasang dalam peranti Android yang baru di dalam firmware yang kemungkinan besar dilakukan oleh pengeluar dan juga syarikat penyedia rangkaian yang menjual telefon tersebut kepada pelanggan mereka.
Kembali kepada kes Apple vs FBI, pakar-pakar teknologi biro itu gagal mengakses iPhone 5C, model yang termurah dari Apple selepas 10 kali cubaan, sekaligus berdepan ancaman kesemua data dipadam jika percubaan seterusnya gagal.
Ini bermakna untuk mengakses iPhone dan mendapatkan data daripada peranti tersebut bukan satu perkara yang mudah, sehingga FBI sendiri terpaksa mengupah seorang penggodam ataupun sebuah syarikat lain untuk mengakses telefon tersebut.
Lain ceritanya jika anda memiliki sebuah peranti Android, dengan hanya sebuah alat buatan China yang dijual di pasaran maya, semua data boleh dikeluarkan dari peranti Android tersebut dengan mudah.
Sistem Android yang menggunakan sumber terbuka ataupun open source menyebabkan terlalu banyak syarikat membina telefon menggunakan Android, sekali gus menjadi sasaran utama serangan penggodam.
Ia tidak dikawal selia dengan ketat seperti Apple untuk peranti iOS milik syarikat itu, malah data yang bocor dari penyimpanan awannya sebelum ini berpunca daripada penggodaman email pengguna ataupun social engineering, bukan secara terus ke pelayan milik Apple ataupun telefon pengguna.
Oleh kerana Apple hanya satu syarikat dan penggunanya tidak seramai Android, respon untuk sebarang ancaman lebih pantas berbanding Android.
Ia tidak bermakna iOS selamat sepenuhnya daripada penggodam atau lebih selamat daripada menggunakan Android kerana semuanya bergantung kepada pengetahuan mengenai keselamatan pengguna peranti tersebut.
Justeru, harga premium ataupun yang mahal bagi sebuah peranti iOS adalah berbaloi dengan perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat itu dan juga kualiti 'hardware' serta binaan telefonnya. Itu pandangan saya sebagai seorang pengguna iOS.
Namun ia bergantung kepada minat dan pengguna serta sikap individu tersebut sama ada untuk memilih Android atau iOS, kerana tiada pilihan yang salah dalam isu ini.
Bukan saya tidak pernah guna Android, malah telefon pintar pertama adalah Android namun selepas kerap menggunakan iPad, saya terus beralih kepada iOS.
Saya juga pernah diberi peluang untuk menguji telefon-telefon pintar Android yang premium untuk penggunaan merakam gambar, video dan penerbitan berita menggunakan telefon mudah alih.
Akhir sekali, telefon pintar kini bukan sekadar telefon malah sudah menjadi alat yang penting untuk pelbagai kegunaan seharian termasuklah dompet elektronik untuk membayar pembelian dan perkhidmatan selain menggunakan perbankan mudah alih.
Oleh itu, belilah peranti yang terbaik untuk memudahkan penggunaan anda dan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang kukuh.
Terima kasih kepada pakar keselamatan siber, penasihat sistem dan jurutera iDataMap Corporation dari Adelaide, Razwan Mokhtar atas nasihat beliau dalam penulisan ini.
#Android #FBI #iDataMap Corporation #iOS #iPhone #iPhone 5C #keselamatan siber #Razwan Mokhtar
;