Kenapa promosi seni budaya warisan dipinggirkan?

Astro Awani
Disember 27, 2016 23:00 MYT
WAN SYAHRUL AMRY: Beberapa pihak yang terlibat dengan pembangunan seni budaya warisan dilihat semakin meminggirkan promosi aspek berkenaan akhir-akhir ini. - Gambar fail
Beberapa pihak yang terlibat dengan pembangunan seni budaya warisan dilihat semakin meminggirkan promosi aspek berkenaan selain tidak lagi memberi keutamaan kepada cabang seni itu.
Pengarah Komunikasi Strategik, Persatuan Solidariti Seni Budaya Warisan Malaysia, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, ia sekali gus melupakan usaha mewujudkan pawagam komuniti yang menjadi faktor pemangkin pengekalan aspek warisan negara.
"Wayang kulit, boria, mak yong dan dikir barat semakin kurang sambutannya di kalangan masyarakat. Alasan yang diberikan ialah ekonomi yang tidak stabil dan perkara lain lebih diberi keutamaan.
"Tanggungjawab untuk menjaga seni budaya warisan semakin dipinggirkan oleh pihak pihak yang terlibat. Pihak berkenaan kata, jika ingin memulihara warisan ini kos yang diperlukan adalah tinggi jika tidak dibantu kerajaan dan kementerian terbabit," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Jelasnya, kewujudan pawagam komuniti dilihat sebagai platform yang paling bersesuaian berdasarkan ciri-cirinya yang mengutamakan rakyat dan mesra pengguna.
"Idea pawagam komuniti yang ingin dicetuskan di negeri Che Siti Wan Kembang, Kelantan pada asalnya seharusnya disokong oleh semua pihak.
"Selain menjadi hab mempamerkan pengisian isu semasa yang bermanfaat ianya juga boleh digunakan sebagai pusat rujukan maklumat seni budaya warisan negara.
"Kerjasama kementerian berkaitan, kerajaan negeri, GLC, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat boleh merealisasikan kewujudan pawagam komuniti sekali gus menjadi kemudahan utama dalam proses memulihara hasil seni budaya warisan negara," jelasnya.
Penubuhan pawagam komuniti bakal mempromosikan budaya menonton wayang untuk semua lapisan masyarakat di negeri itu.
Ia sekali gus diibaratkan sebuah perpustakaan audio visual yang memiliki pengisian dan mampu menjana pengetahuan masyarakat setempat.
Pada dasarnya idea itu sebenarnya dicetuskan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan kerajaan sendiri.
Walaupun diakui ada peraturan kerajaan negeri yang harus diikuti, ia disifatkan beberapa penggiat seni sebagai langkah yang harus dipandang positif untuk kebaikan masyarakat negeri itu.
Persatuan Solidariti Seni Budaya Warisan Malaysia yang ditubuhkan sejak tahun 2014 ialah sebuah NGO yang bertujuan mengumpul semua penggiat seni budaya berteraskan tradisional dalam sebuah pertubuhan berdaftar.
Penggiat seni ini meliputi seni dikir barat, wayang kulit, mak yong, boria, ghazal, zapin, mek mulong, rodat dan seni tradisi Sabah dan Sarawak.
Selain itu ia juga terbuka kepada penggiat seni lukis, teater, penyair dan individu-individu yang minat dan cinta pada perjalanan dan perkembangan seni budaya bangsa Malaysia.
Persatuan ini turut memainkan peranan yang khusus untuk meningkatkan penghayatan seni budaya khususnya kepada generasi muda selain menjaga kebajikan penggiat yang sedia ada.
Dalam menjalankan setiap program dan aktivitinya, persatuan ini akan bekerjasama dengan semua pihak samada pihak kerajaan, swasta dan NGO lain yang mempunyai misi dan tujuan yang sama.
#FINAS #NGO #pawagam komuniti #Persatuan Solidariti Seni Budaya Warisan Malaysia #zapin
;