Kenapa perlu membezakan 'semangat' 31 Ogos dan 16 September?
Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli
September 4, 2021 15:10 MYT
September 4, 2021 15:10 MYT
MALAYSIA bertunjangkan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu serta Sabah dan Sarawak, dua bekas koloni Inggeris di Pulau Borneo.
Baru-baru ini terdapat pertikaian oleh sebahagian kecil masyarakat yang beranggapan bahawa tanggal 31 Ogos bukanlah tarikh kemerdekaan Malaysia tetapi hanyalah tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Sabah.
Kenapa perlu tarikh kemerdekaan dibeza-bezakan di antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah serta Sarawak?
Persekutuan Tanah Melayu wujud hasil gabungan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat pada 1 Februari 1948.
Tempoh sembilan tahun dari 1948 sehingga 1957 telah digunakan bagi mempersediakan Malaya untuk berkerajaan sendiri dan seterusnya kemerdekaan.
Menurut Sir Zelman Cowan, seorang pakar sejarah dari Australia, pemerintahan langsung British dalam Persekutuan Malaya hanya terhad kepada hal ehwal luar negara dan pertahanan.
Dalam erti kata yang lain, Malaya belum lagi merdeka pada tahun 1948 tetapi kemudian pada tahun 1957.
Sementara itu, Suruhanjaya Cobbold yang dihantar ke Sabah dan Sarawak melaporkan dua pertiga rakyat kedua-dua bekas koloni British ini menyokong gagasan Malaysia.
Hari Pemerintahan Sendiri Sabah kini disambut pada 31 Ogos manakala Sarawak menyambutnya pada 22 Julai dan sering kali disalah anggap sebagai ‘hari kemerdekaan’ Sabah dan Sarawak.
Menurut British Documents on the End of Empire yang diedit oleh AJ Stockwell, anggapan ini adalah tidak tepat, memandangkan perundangan British mengenai pemerintahan sendiri Sabah dan Sarawak tidak memperuntukkan kemerdekaan sebelum koloni-koloni ini menyertai gagasan Malaysia.
Oleh itu, pengataan bahawa Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan daripada British sebelum penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 adalah suatu kesalahfahaman yang boleh merosakkan fakta sejarah negara.
Dua koloni British ini, iaitu Sabah dan Sarawak hanya mencapai kemerdekaan di dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
31 Ogos atau 16 September?
Fakta sejarah mencatatkan gagasan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 apabila negara merdeka dan berdaulat yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu bersekutu dengan bekas koloni-koloni British iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura (yang dikeluarkan pada tahun 1965).
Walaupun Malaysia dikatakan wujud pada 16 September 1963, keanggotaan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah pada 17 September 1957 tidak lama setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong kekal menjadi ketua negara Malaysia.
Selain itu, matawang Ringgit, lagu kebangsaan dan bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu terus diguna pakai tanpa perubahan dalam Persekutuan Malaysia.
Lagi pula, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang diratifikasi pada 27 Ogos 1957 dijadikan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan beberapa pindaan bagi membolehkan kemasukan Sabah dan Sarawak mengambil tempat.
Oleh itu, apakah benar Malaysia sememangnya sebuah negara baru yang ditubuhkan pada 16 September 1963 atau hanya sekadar negara kesinambungan Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1957?
Perkara 1(2) dibaca sekali bersama dengan 1(3) dan 1(4) Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah menetapkan bahawa Malaysia terdiri daripada 13 buah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak beserta 3 wilayah-wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.
Memandangkan Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak membeza-bezakan kedudukan negeri-negeri di dalam Malaysia di antara satu sama lain, kenapa perlu sesetengah rakyat Malaysia mempersoalkan tanggal 31 Ogos, tarikh keramat permulaan kemerdekaan bagi seluruh negara?
Kenapa perlu peruntukan Perlembagaan Persekutuan dipersoalkan?
Namun, ini tidak menghalang rakyat Malaysia untuk sama-sama meraikan Hari Malaysia 16 September, Hari Berkerajaan Sendiri Sabah pada 31 Ogos dan Hari Berkerajaan Sendiri Sarawak pada 22 Julai.
Perlu diingat bahawa Sabah dan Sarawak tidak pernah merdeka di luar gagasan Malaysia seperti yang disalah anggap oleh sesetengah pihak.
Perlu diingat juga bahawa Persekutuan Tanah Melayu tidak akan lengkap tanpa Sabah dan Sarawak sebagai gagasan Malaysia.
31 Ogos adalah tarikh keramat negara meraikan kemerdekaan – tidak perlu dibeza-bezakan di antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang merupakan sebahagian daripada Malaysia pada hari ini.
* Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan felo bersekutu kanan di Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.
** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.