Kenapa perlu cakap kasar dengan PM Najib? - Mat Over

Astro Awani
Mei 17, 2017 01:25 MYT
Sulaiman Yassin (Mat Over) mempersoalkan tindakan David Teo yang dilihat bercakap kasar terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berlangsung sesi program Dialog TN50 di Putrajaya, semalam. -Foto Astro AWANI
Pelakon veteran Sulaiman Yassin atau dikenali sebagai Mat Over menyifatkan tindakannya menampar pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) Datuk David Teo pada Rabu sebagai satu tindakan rasional dan tidak berniat jahat.
Beliau mempersoalkan tindakan David yang dilihat bercakap kasar dengan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berlangsungnya sesi program Dialog TN50 Bersama Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni (Budayawan), di Dewan Bankuet, Seri Perdana, Putrajaya pada Rabu.
"Kita orang Melayu. Kita ada budi pekerti. Kita bercakap dengan 'kepala' negara. Perdana Menteri Datuk Seri Najib sebagai tuan rumah mengajak kita mencurah luahan kita kepada beliau.
"Mengapa kita harus bercakap kasar dengan beliau (Datuk Seri Najib) sebagai tuan rumah?" kata Mat Over ketika dihubungi Astro AWANI.
BACA: Dia ingat dia bercakap dengan budak production - Mamat Khalid
Menurut Mat Over, dia mengambil keputusan untuk berdamai dengan David atas dasar profesional.
Beliau turut memohon maaf kepada Datuk Seri Najib sejurus selepas insiden itu.
"Saya minta maaf dengan Datuk Seri Najib. Saya beritahu dia yang saya tidak suka individu yang gagal menunjukkan rasa hormat terhadap perdana menteri.
Pada Rabu malam, berlaku kekecohan pada program TN50 apabila David Teo ditampar Mat Over dipercayai kerana bersikap ‘kurang ajar’ di hadapan Datuk Seri Najib.
Kejadian berlaku ketika David cuba bertanyakan soalan pada sesi program dialog tersebut.
David dilihat bertegas mahu bertanya kepada moderator dialog iaitu pelakon Datuk Rosyam Nor namun tidak diendahkan. Ketika itulah kelibat Mat Over kelihatan dari belakang pentas menuju ke arah David lalu menamparnya.
Sengketa mereka tidak berpanjangan apabila David dan Mat Over dilihat bersalaman dan berdamai seketika kemudian.
#David Teo #Mat Over #Najib Razak #TN50 #Transformasi Nasional 2050
;