Kenapa pemimpin Pakatan sahaja ditahan? - Nurul Izzah
Haider Yutim
Mac 16, 2015 15:51 MYT
Mac 16, 2015 15:51 MYT
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar hari ini menyoal langkah polis yang hanya mengambil tindakan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan bukannya ahli UMNO yang dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Katanya individu seperti Ketua Wanita UMNO Baling Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan berunsur keagamaan dan juga perkauman.
“Gesaan saya cuma satu, kenapa tindakan diambil terhadap ahli parlimen Pakatan Rakyat dan bukannya Dr Mashitah, Ismail Sabri yang sehingga hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan yang benar-benar membangkitkan kemarahan?
“Kita mahu PDRM bertindak dan berkhidmat untuk rakyat dan bukannya UMNO, Najib dan kuncu-kuncunya,” soal Ahli Parlimen Lembah Pantai itu kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi pada Isnin.
Bagaimanapun kedua-dua individu tersebut juga pernah sebelum ini dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan.
Dr Mashitah Ibrahim pada Disember 2014 lalu, pernah tampil beri keterangan di IPD Dang Wangi petang susulan kenyataan dibuatnya mengenai isu pembakaran Al-Quran.
Beliau telah membangkitkan isu tersebut dalam perbahasannya di Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang lalu.
Ismail Sabri pula telah tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Februari lalu, berhubung kenyataannya menggesa orang ramai memboikot peniaga Cina, di mana kenyataan itu menjadi viral dan menimbulkan kekecohan di media sosial.
Nurul Izzah berkata demikian sebelum masuk ke IPD tersebut bersama aktivis Safwan Anang untuk memberi keterangan berkenaan penglibatannya dalam himpunan #KitaLawan baru-baru ini, selain kenyataan 'hasutan' yang dibuatnya pada ucapan Ketua Pembangkang 10 Mac lalu.
Beliau memaklumkan, telah diberikan notis oleh pihak polis berkaitan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan juga Akta Hasutan 1948.