'Kenapa pemimpin DAP tidak kecam perbuatan Kor Ming?' - Ibdilillah
Wan Syamsul Amly
Julai 10, 2016 07:05 MYT
Julai 10, 2016 07:05 MYT
Ketiadaan pemimpin DAP yang mengecam perbuatan Anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang memuat naik status dalam akaun Facebook miliknya dan menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri dilihat menghairankan.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, ia berlainan dengan semangat DAP selama ini yang dikatakan memperjuangkan hak semua rakyat.
"Setelah perbuatannya itu dikecam oleh orang ramai, Kor Ming bertindak memadam laman rasmi Facebook miliknya. Sememangnya Nga Kor Ming seorang yang bacul, tidak bertangunggjawab dan mengambil sikap 'membaling batu, sembunyi tangan'.
"Barangkali Kor Ming telah mencerminkan pendirian parti yang diwakilinya. Sehingga hari ini tiada seorang pun pemimpin DAP yang mengecam penghinaan Kor Ming ke atas jutaan rakyat Malaysia yang beragama Islam. Adakah DAP bersetuju dengan penghinaan ini?
"DAP sering kali mengatakan partinya memperjuangkan hak semua rakyat Malaysia, tetapi apabila perayaan umat Islam menjadi bahan hinaan pemimpinnya, mereka seperti biasa mengambil sikap hipokrit dan berdiam diri," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini, status Facebook milik Kor Ming memuatkan satu gambar karikatur mengaitkan pemberian duit raya kepada kanak-kanak dan tetamu ketika Hari Raya sebagai rasuah.
Dalam pada itu tegas Ibdilillah, Pemuda UMNO Selangor dan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan akan menyerahkan memorandum mendesak Kor Ming memohon maaf kepada jutaan umat Islam di atas perbuatan biadab itu.
"Saya menjemput semua untuk menyatakan bantahan di Ibu Pejabat DAP pada hari Selasa (12 Julai) pada jam 2 petang. DAP adalah sesumpah politik yang perlu ditolak oleh semua rakyat negara ini," jelasnya.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar sebelum ini turut mengecam tindakan Kor Ming itu dan menganggapnya tidak menghormati kesucian agama Islam malah menunjukkan pemimpin DAP itu tidak mempunyai semangat patriotik.
Ia disokong Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng yang menyifatkan tindakan Kor Ming itu sebagai tidak sensitif dan tidak peka dengan budaya serta amalan rakyat Malaysia.