Kenapa Palanivel 'jemput' gangster jaga bangunan MIC? - Saravanan

Wan Syamsul Amly
Januari 28, 2015 14:36 MYT
Saravanan (tengah) bersama-sama Ketua Pemuda MIC, C.Sivaraj dan Ketua Wanita MIC, M.Mohana. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Naib Presiden MIC, Datuk M.Saravanan mempersoalkan tindakan Presiden parti, Datuk G.Palanivel yang menggunakan gangster untuk menyerahkan surat penggugurannya sebagai Pengerusi Jawatankkuasa Perhubungan MIC Wilayah dan menghalangnya memasuki ibu pejabat parti.
Sehubungan itu, Saravanan ‎menggesa Palanivel memberi penjelasan terhadap tindakannya yang mengarah sekumpulan gangster untuk menjaga bangunan ibu pejabat parti selain bertindak di luar undang-undang perlembagaan MIC.
"Keadaan kini menjadi semakin teruk dan kronik di dalam parti. Palanivel harus memberi penjelasan terhadap tindakan mengupah gangster ini dan membuat arahan untuk bermesyuarat‎ dalam masa 15 hari.
"Kita beri Palanivel 24 jam. Seandainya gagal, kita akan kumpulkan 2,000 ahli MIC dan berarak ke rumah Palanivel," katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat MIC di sini hari ini.
Kemelut MIC semakin kritikal selepas pengumuman Saravanan (kiri) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MIC Wilayah pada petang Selasa. - Sumber Foto MIC
Kemelut MIC semakin meruncing selepas Palanivel mengumumkan pengguguran Saravanan sebagai Pengerusi Jawatankkuasa Perhubungan MIC Wilayah pada petang Selasa.
Kerusi Saravanan bagaimanapun diumum diganti timbala‎nnya, Datuk V. Rajoo dengan alasan memperkasa serta demi masa depan parti sendiri.
Tegas Saravanan, keputusan Palanivel itu ditarik balik pada pukul 11 malam dengan alasan parti masih memerlukannya demi kelangsungan MIC.
‎Dalam pada itu katanya, tindakan Palanivel kini disifatkan sama seperti pembangkang sekali gus tidak menghormati pelantikannya sebagai presiden oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Palanivel buat parti seperti harta bapanya sendiri. Setiap tindakan tidak pernah dibincang dan hari ini adalah kemuncak yang sangat keterlaluan.
"Dia (Palanivel) harus ingat jawatannya ini adalah muafakat bersama yang dipersetujui dan diumum Perdana Menteri selama satu penggal," jelasnya.
‎Sementara itu jelasnya, buat masa kini, 'ketenteraman' ibu pejabat parti akan dijaga Pemuda MIC selain bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan gangster berkenaan tidak lagi mengganggu kawasan sekitar.
Saravanan sebelum ini dilaporkan pernah menasihati Palanivel untuk membuat pertemuan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan menyelesaikan kemelut pemilihan jawatan penting parti.
‎MIC sebelum ini berdepan kontroversi selepas ROS membatalkan pemilihan tiga Naib Presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti tersebut dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November lalu.
Dalam surat bertarikh 5 Disember itu, ROS mencadangkan jawatan tersebut dipilih semula dalam tempoh 90 hari berikutan dakwaan wujud ketidakteraturan serta berlaku pelanggaran perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.
#Datuk M.Saravanan #G.Palanivel #MIC #Najib Razak #pengguguran #surat #v.rajoo
;