Kenapa Najib tak dipakai baju jingga? Ini jawapan SPRM
Madiha Abdullah
September 22, 2018 12:52 MYT
September 22, 2018 12:52 MYT
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan wujud layanan istimewa yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak apabila bekas perdana menteri itu tidak dipakaikan baju jingga dan digari ketika dibawa ke mahkamah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki pada Sabtu berkata pemakaian baju jingga dan gari adalah bergantung kepada budi bicara pegawai pengendali dan keperluan kes.
"Datuk Seri Najib bukan satu-satunya kes yang kita kendali di mana yang ditahan tidak dipakaikan baju oren dan tidak digari. Sebelum ini pun sudah ada.
"Biasanya, pegawai yang mengendalikan akan melihat jika ada orang yang ditahan itu boleh membawa kemudaratan seperti melarikan diri atau membuat kecoh, maka dia perlu digari dan dipakaikan baju jingga itu," jelas Azam.
Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah dalam program SPRM 360 di Bernama Radio, hari ini.