Kenapa kerajaan takut tetapkan harga tanah di Kampung Baru? - Shahariah

Wan Syamsul Amly
Februari 17, 2015 18:34 MYT
SHAHARIAH: Kenapa kerajaan takut tetapkan harga tanah di Kampung Baru? - Gambar fail
Kerajaan digesa menetapkan segera harga untuk satu kaki persegi tanah di Kampung Baru sebelum sebarang pelan pembangunan yang diumum baru-baru ini dimulakan.
Pemula Runding Pemilik Tanah Kampung Baru, Shahariah Sabarudin berkata, harga minimum untuk satu kaki tanah harus diberikan segera demi melancarkan pelan pembangunan sekali gus menyelesaikan kemelut yang sekian lama tertangguh.
"Kerajaan harus mengumumkan sekurang-kurangnya RM1,400 untuk satu kaki persegi tanah di sini, kami difahamkan harga tanah adalah RM3,400 untuk saiz sama di seberang sungai di Jalan Yap Kuan Seng yang jaraknya begitu hampir dengan tanah kami.
"Jika tidak ia boleh dipertimbangkan dengan harga RM1,000 untuk satu kaki persegi bersama pegangan," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Shahariah mengulas isu harga tanah di Kampung Baru yang masih belum diumum kerajaan sehingga hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Perbadanan Kampung Baru (PKB), Datuk Seri Matshah Safuan di dalam slot Agenda AWANI meminta penduduk Kampung Baru tidak bimbang mengenai pembangunan kampung tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah memberi jaminan bahawa pembangunan semula Kampung Baru tidak akan meminggir atau mengabaikan hak milik serta pewaris asal kampung berkenaan.
Kata Muhyiddin, ini kerana penggubalan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB) sebelum ini melibatkan proses yang ketat serta melalui beberapa siri perbincangan bersama pemilik dan pewaris tanah.
Shahariah sebelum ini dilaporkan melahirkan rasa kesal dan menyifatkan PKB cuba mengelirukan rakyat negara ini dengan peratusan penduduk yang bersetuju dengan pembangunan tersebut.
Tegasnya, PKB mempunyai agenda peribadi di sebalik isu itu selain meminta PKB menyenaraikan siapa di antara 90 peratus itu yang bersetuju.
Katanya lagi, pihaknya sudah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib untuk mengadakan pertemuan namun sehingga hari ini masih tidak mendapat apa-apa reaksi.
"Sejak akhir November lepas kita sudah menghantar e-mel dan meminta mengadakan pertemuan mengenai isu ini namun mereka senyap sahaja.
"Salahkah kita hendak berjumpa dengan Datuk Bandar dan berbincang mengenai isu penempatan yang ingin dibangunkan ini?" ujarnya.
Jelasnya, keputusan akhir harga tanah di Kampung Baru juga harus disesuaikan dengan pasaran semasa demi membuktikan kerajaan tidak meminggirkan nasib orang Melayu yang menetap di ibu kota.
"Jangan tangguh lagi, jangan sampai ada lagi waris di sini meninggal dunia baru hendak diselesaikan semuanya," katanya.
#Kampung Baru #Melayu #Muhyiddin #nilai #PKB
;